KUALA LUMPUR 30 Jan - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pegawai kanan kerajaan tidak akan terlepas daripada siasatan rasuah.
Beliau berkata, penguatkuasaan berkaitan rasuah mesti diteruskan di semua peringkat sehingga kesan positif dapat dirasai oleh negara dan rakyat.
“Selalunya kerosakan datang dari atas. Sebab itu saya menekankan penguatkuasaan walaupun terhadap pemimpin kanan, termasuk ketua setiausaha, ketua pengarah dan juga anggota Jemaah Menteri, yang mesti dipantau dengan rapi,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah Taman Greenwood hari ini.
Anwar berkata penguatkuasaan merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini.
Beliau menegaskan ia perlu dilaksanakan di peringkat Persekutuan, negeri serta pihak berkuasa tempatan.
“Perlu ada usaha bersepadu yang melibatkan keseluruhan jentera kerajaan. Hanya dengan cara ini negara kita dapat diperbaiki,” katanya.
Beliau seterusnya menekankan penguatkuasaan di peringkat pihak berkuasa tempatan perlu merangkumi aspek seperti kebersihan dan kemasukan pekerja asing secara haram.
Pada Rabu lalu Anwar memberi tempoh seminggu kepada pegawai penguat kuasa kerajaan untuk menentukan sama ada mereka bersedia memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam memerangi rasuah atau memohon pertukaran tugas.
Perdana Menteri berkata adalah sesuatu yang tidak boleh diterima jika masih terdapat pegawai penguat kuasa yang bertolak ansur terhadap salah laku seperti penyeludupan, rasuah dan kegiatan gangsterisme.
Terdahulu pada Jumaat, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), timbalannya serta seorang pegawai direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan melibatkan sisa elektronik (e-sisa). - DagangNews.com








