KUALA LUMPUR 18 Dis - Pasukhas Group Berhad secara rasmi menukar nama korporatnya kepada Midtown Group Berhad, berkuat kuasa 18 Disember 2025, susulan penerimaan notis pendaftaran nama baharu daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata notis pendaftaran bagi nama “Midtown Group Berhad” telah diterima pada 18 Disember 2025, sekali gus memuktamadkan penjenamaan semula korporat berkenaan.
Pertukaran nama ini menandakan satu fasa baharu bagi kumpulan tersebut, selari dengan hala tuju strategik dan perancangan jangka panjang syarikat untuk memperkukuh kedudukan perniagaannya serta mencerminkan skop operasi yang lebih meluas.
Pasukhas Group yang ditubuhkan pada 2005 tersenarai di Pasaran Ace Bursa Malaysia, bermula sebagai kontraktor Mekanikal & Elektrikal (M&E).
Kini kumpulan itu beroperasi merentasi beberapa segmen perniagaan termasuk Perkhidmatan Kejuruteraan M&E meliputi reka bentuk, integrasi sistem, fabrikasi, pemasangan serta ujian & pentauliahan kerja elektrik dan mekanikal.
Kumpulan itu juga terbabit dalam Pembinaan dan Kejuruteraan Awam, Perdagangan & Perkhidmatan dan Pembangunan Hartanah, Tenaga dan Pelaburan termasuk loji hidro mini dan projek berkaitan tenaga boleh diperbaharui.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 15 Disember 2025, kumpulan itu memberitahu telah menerima Surat Pelantikan (LOA) daripada sebuah korporat teknologi multinasional terkemuka dari Amerika Syarikat bagi projek pembinaan dan menyiapkan sebuah pusat data di Johor Bahru bernilai RM63.6 juta. - DagangNews.com








