KUALA LUMPUR 26 Mei — Time dotCom Berhad dijangka menyaksikan pertumbuhan pasaran gentian runcit yang semakin tepu disebabkan persaingan sengit daripada pengendali rangkaian mudah alih lain, kata RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, syarikat telekomunikasi berkenaan sepatutnya merekodkan pengembangan secara berterusan antara 200,000 hingga 300,000 premis baharu setahun.
Katanya, potensi pengembangan tersebut mampu memacu pertumbuhan hasil tetapi keadaan pasaran ketika ini menyebabkan ia perlu bersaing dengan pelbagai operator yang turut menawarkan produk perkhidmatan serupa.
"Walaupun unit kediaman kekal sebagai kubu kuatnya, Time dotCom membuat kemajuan bagi unit kediaman tunggal (SDU) dengan 50 peratus premis gentian baharu ditambah," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research berkata, langganan perkhidmatan awan VMWare kekal sebagai dominan meskipun rumusan awan lain yang ditawarkan dengan menggunakan Huawei, telah dapat mengatasi kelemahan daripada awan sebelumnya.
Kumpulan itu katanya, telah mempelbagaikan perniagaan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), dan merupakan operator telekomunikasi pertama melancarkan perniagaan solar kediaman pada Februari 2024.
"Kami tidak menjangka sumbangan material daripada perniagaan sampingan," kata firma berkenaan sambil merujuk segmen runcit kekal sebagai penyumbang hasil yang stabil menerusi pengembangan ke kawasan baharu.
Selain itu tambahnya, perniagaan pusat data yang dipegang menerusi 30 peratus kepentingan Time dotCom dalam AIMS Group, menyaksikan penyusutan dari suku ke suku selepas merekodkan asas kukuh pada 4QFY24.
Berdasarkan perkembangan tersebut, RHB Research mengekalkan saranan "neutral" ke atas syarikat berkenaan dan menyemak semula harga sasaran sesaham kepada RM5.10 berbanding RM5.00 sebelum itu. - DagangNews.com








