Pasaran buruh tidak formal Malaysia meningkat stabil, diperkukuh kelulusan RUU Pekerja Gig - Maybank IB   | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran buruh tidak formal Malaysia meningkat stabil, diperkukuh kelulusan RUU Pekerja Gig - Maybank IB  

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Sept - Pasaran buruh Malaysia terus menunjukkan ketahanan meskipun berdepan cabaran ekonomi global, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh serta penciptaan pekerjaan yang stabil dalam pelbagai sektor utama.

 

Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), bilangan Pekerja Akaun Sendiri – merangkumi peniaga kecil, penjaja, pengusaha gerai makanan, pekebun kecil, individu bekerja sendiri serta pekerja gig – meningkat stabil kepada 3.21 juta pada Julai 2025, berbanding 3.20 juta pada Jun. Kumpulan ini mewakili sebahagian besar daripada tenaga kerja tidak formal.

 

Perkembangan penting bagi segmen ini ialah kelulusan Rang Undang-Undang Pekerja Gig yang melibatkan sekitar 1.2 juta pekerja.

 

Undang-undang tersebut memperkenalkan definisi rasmi pekerja gig, menubuhkan majlis tiga pihak untuk menentukan pendapatan dan syarat kerja, menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian serta memperluas perlindungan keselamatan sosial.

 

“Perkembangan dasar terhadap pekerja gig amat penting memandangkan peranan mereka semakin besar dalam menyokong guna tenaga dan pendapatan isi rumah,” menurut Maybank IB dalam nota penyelidikan terbaharu hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pasaran buruh Julai 2025 kekalkan pertumbuhan positif meningkat kepada 17.47 juta orang - DOSM

 

Guna Tenaga Penuh Pacu Penggunaan Swasta

Malaysia kini berada dalam situasi guna tenaga penuh, dengan kadar pengangguran kekal pada paras 3.0% pada Julai 2025, tidak berubah untuk empat bulan berturut-turut. Bagi tujuh bulan pertama tahun ini, kadar pengangguran purata 3.0%, lebih rendah berbanding 3.3% pada 2024.

 

Jumlah penganggur menurun -5.7% tahun ke tahun (YoY) pada Julai kepada 521,600 orang, manakala jumlah guna tenaga meningkat +3.1% YoY kepada 16.95 juta orang.

 

Pertumbuhan pekerjaan didorong sektor perkhidmatan, khususnya perdagangan borong & runcit, penginapan serta makanan & minuman, selain maklumat dan komunikasi. Sektor lain – termasuk pembuatan, pembinaan, pertanian serta perlombongan & kuari – turut mencatat peningkatan.

 

Maybank IB menekankan kenaikan gaji dalam perkhidmatan awam dan sektor pembuatan, ditambah dengan semakan gaji minimum serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kukuh, terus memperkukuh pendapatan isi rumah. Caruman kasar KWSP melebihi RM30 bilion setiap suku tahun dalam separuh pertama 2025.

 

Sehubungan itu, perbelanjaan penggunaan swasta diunjurkan berkembang 5.3% tahun ini, berbanding 5.1% pada 2024.

 

Pemberhentian Kerja Meningkat, Namun Penyerapannya Baik

Walaupun trend pekerjaan positif, pemberhentian kerja menunjukkan peningkatan. Seramai 6,365 pekerja diberhentikan pada Julai 2025, naik 22.8% YoY dan 20.6% berbanding Jun.

 

Secara kumulatif, pemberhentian kerja meningkat 30.3% kepada 40,370 orang dalam tujuh bulan pertama tahun ini, berbanding 30,980 pada tempoh sama 2024.

 

Namun, kadar pengangguran yang rendah berterusan memberi isyarat pekerja yang diberhentikan berjaya diserap semula ke dalam pasaran buruh dengan cepat.

 

“Secara keseluruhannya, pasaran buruh Malaysia kekal berdaya tahan, sekali gus memperkukuh prospek pertumbuhan permintaan domestik yang stabil meskipun berdepan cabaran luaran,” jelas Maybank IB. - DagangNews.com