KUALA LUMPUR 13 Mei — Pasaran buruh Malaysia 2025 dilihat terdedah kepada risiko pengurangan pekerjaan disebabkan isu ketegangan perdagangan global antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kata TA Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, sektor elektronik, jentera serta barangan perantaraan antara yang mudah mengalami ketidaktentuan situasi pekerjaan khususnya di kawasan berorientasikan eksport seperti Pulau Pinang dan Johor.
Ia turut mengambil pendirian berhati-hati susulan laporan terkini Tenaga Buruh Mac 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 9 Mei 2025 apabila menyatakan kadar pengangguran adalah kekal berada 3.1 peratus.
"Walaupun ketidakpastian berlarutan, penangguhan sementara tarif AS menawarkan ruang untuk rantaian nilai global dan membantu mengekalkan pekerjaan yang berkaitan eksport dalam tempoh terdekat," katanya dalam satu nota kajian.
TA Securities optimistik tetapi kekal berhati-hati terhadap pasaran buruh meskipun memantau teliti perkembangan geopolitik yang dijangka boleh mempengaruhi trend pengambilan pekerja semasa.
Selain dinamik luaran kata firma itu, ekonomi domestik kekal stabil menerusi pelbagai inisiatif yang diterajui kerajaan seperti pelarasan gaji sektor awam, gaji minimum lebih tinggi, dan program bantuan tunai bersasar.
"Langkah-langkah itu dijangka mengekalkan perbelanjaan isi rumah dan menyokong momentum ekonomi keseluruhan di samping pemulihan berterusan dalam sektor perkhidmatan, seharusnya memperkukuh daya tahan pasaran buruh 2025," katanya.
Tempoh bertenang pelaksanaan tarif AS selama tiga bulan kata firma tersebut, boleh membantu menstabilkan aliran perdagangan global dan mengurangkan pendedahan risiko disebabkan limpahan kesan kepada ekonomi terbuka Malaysia.
Perkembangan terkini namun mengurangkan sementara permusuhan perdagangan apabila AS-China bersetuju untuk bersama-sama menurunkan tarif dan mewujudkan ruang untuk rundingan lanjut.
"Kami menjangkakan pasaran buruh Malaysia terus berkembang pada bulan-bulan berikutnya, didorong permintaan teguh dan beberapa langkah dasar yang disasarkan bertujuan untuk memastikan kestabilan pekerjaan," kata TA Securities.
Prospek itu tambahnya, turut dibantu inisiatif struktur termasuk persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026, yang meningkatkan pekerjaan berkaitan pelancongan serta pembangunan ekonomi digital dan ekosistem teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pelancaran Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) katanya, dijangka menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berorientasikan perkhidmatan serta membantu dalam memastikan tenaga kerja pada masa hadapan. - DagangNews.com








