KUALA LUMPUR 2 Dis - Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang Profesion Undang-Undang (Pindaan) (No.2) 2025, yang antara lain bertujuan menghalang individu yang memegang jawatan dalam parti politik daripada dilantik sebagai ahli Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran, berkata peruntukan itu dimasukkan di bawah Subseksyen 7(3) Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166) yang dipinda.
“Dengan langkah perlindungan ini, tidak seharusnya timbul lagi kebimbangan dalam kalangan Ahli Parlimen mengenai dakwaan pengaruh, campur tangan atau lantikan politik dalam LPQB,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang tersebut.
Beliau menambah pindaan itu akan memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan serta mempertingkat akauntabiliti LPQB, selaras dengan usaha mereformasi dan memperkasa profesion undang-undang di Malaysia.
Pindaan lain terhadap Akta 166 melibatkan Seksyen 4, bagi memperjelas status LPQB sebagai sebuah badan korporat yang mempunyai kapasiti undang-undang.
Rang Undang-Undang itu diluluskan melalui undian suara majoriti selepas dibahaskan oleh 12 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. - BERNAMA








