Pakar undang-undang antarabangsa Prof Dr Mohd Afandi dilantik sebagai Pengerusi baharu HDC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pakar undang-undang antarabangsa Prof Dr Mohd Afandi dilantik sebagai Pengerusi baharu HDC

Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Mei – Halal Development Corporation Berhad (HDC), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan pelantikan Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa serta-merta.

 

HDC merupakan agensi utama yang bertanggungjawab membangunkan ekosistem halal bersepadu negara serta memperkukuh keseluruhan rantaian industri halal Malaysia di bawah mandat MITI.

 

Selain itu, HDC turut berperanan sebagai sekretariat kepada Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia serta penyelaras utama ekosistem halal negara yang melibatkan pelbagai agensi dan pemain industri.

 

HDC dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan itu adalah langkah strategik bagi memperkukuh kepimpinan HDC dalam usaha memperluas kedudukan Malaysia sebagai hab global industri halal.

 

“Sebagai Pengerusi, Prof. Dr. Mohd Afandi akan memikul tanggungjawab memperkukuh kerjasama antarabangsa, mempertingkatkan kepimpinan dasar serta memperluas jaringan diplomasi ekonomi halal di peringkat global,” kata HDC.

 

Beliau kini merupakan Profesor dalam bidang Hubungan Antarabangsa di Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang akademik serta pentadbiran universiti.

 

Sepanjang kerjaya, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, selain terlibat aktif dalam pembangunan dasar pendidikan tinggi serta jaringan antarabangsa universiti.

 

Dalam bidang antarabangsa, beliau mempunyai kepakaran dalam undang-undang antarabangsa, isu kemanusiaan serta hubungan global, termasuk penglibatan dalam proses Kajian Berkala Sejagat (UPR) di bawah United Nations.

 

Beliau turut terlibat dalam pelbagai jaringan akademik dan antarabangsa termasuk Rangkaian Universiti ASEAN serta Pusat Hak Asasi Manusia Norway dalam memperkukuh kajian berkaitan hak asasi manusia dan tadbir urus global.

 

Selain itu, beliau aktif dalam misi kemanusiaan antarabangsa termasuk penyertaan dalam misi Freedom Flotilla  pada 2018 dan 2025, yang menyaksikan beliau ditahan oleh tentera Israel di perairan Laut Mediterranean ketika menjalankan misi kemanusiaan.

 

Prof. Dr. Mohd Afandi memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Hubungan Antarabangsa dari Universiti Durham serta Sarjana Undang-Undang Antarabangsa dari Universiti Lancaster.

 

Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan dalam bidang Sains Politik dengan minor dalam Islamic Revealed Knowledge dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

 

HDC menzahirkan keyakinan dengan pengalaman kepimpinan, jaringan antarabangsa serta kepakaran multidisiplin beliau akan memperkukuh pembangunan industri halal negara pada peringkat global.

 

Menurut HDC, pelantikan ini juga dijangka mempercepatkan usaha Malaysia untuk memperkukuh kedudukan sebagai pusat utama perdagangan, pelaburan dan inovasi halal dunia.

 

Dalam masa sama, ia turut dijangka meningkatkan kerjasama strategik Malaysia dengan pelbagai institusi antarabangsa serta pemain industri halal global dalam usaha memperluas pasaran eksport halal.- DagangNews.com