Pakar ekonomi saran kekalkan tarif air rendah bagi rakyat, naikkan bagi pusat data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pakar ekonomi saran kekalkan tarif air rendah bagi rakyat, naikkan bagi pusat data

Oleh Nurul Izzati Abdul Azim

KUALA LUMPUR 11 Julai - Model harga berperingkat perlu dilaksanakan dalam proses semakan tarif perkhidmatan bekalan air bagi memastikan tarif rendah dikenakan ke atas penggunaan domestik rendah, manakala tarif lebih tinggi dikenakan kepada pengguna industri besar seperti pusat data.

 

Ahli ekonomi, Prof Dr Geoffrey Williams berkata langkah itu penting untuk melindungi golongan berpendapatan rendah daripada beban kenaikan tarif yang dipohon oleh operator perkhidmatan air di 10 negeri baru-baru ini.

 

“Penyediaan air bersih dan sanitasi sempurna memerlukan kos tinggi. Malangnya, sebelum ini kadar tarif air dikekalkan pada tahap rendah secara tidak realistik.

 

“Oleh itu, kenaikan tarif kini menjadi perlu, malah lebih tinggi berbanding sekiranya penyesuaian tarif dibuat secara berperingkat sejak dahulu,” katanya kepada DagangNews hari ini.

 

Terdahulu, Suruhanjaya Tenaga (ST) mengumumkan pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu bermula 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027, bagi memastikan struktur tarif elektrik yang lebih adil, progresif dan mampu milik.

 

Mengulas lanjut, Williams berkata peningkatan kebimbangan terhadap pembaziran, kebocoran dan isu rasuah dalam projek infrastruktur air turut menyumbang kepada keperluan menyemak semula tarif air.

 

Beliau berkata kenaikan tarif secara berperingkat perlu dilaksanakan bagi memastikan penyelenggaraan infrastruktur air mendapat peruntukan secukupnya.

 

“Semakan tarif sepatutnya dilakukan setiap tahun untuk membolehkan sebarang kenaikan dilaksanakan dalam skala kecil dan terkawal, malah memberi ruang untuk pengurangan tarif jika kos menurun,” katanya.

 

Bagaimanapun, katanya, kesan kepada pengguna bergantung kepada kadar kenaikan yang akan diluluskan.

 

“Jika kenaikan terlalu besar, ia boleh diagihkan secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun melalui pelaksanaan sistem tarif berasaskan harga berperingkat,” jelasnya.

 

 

Prof Dr Geoffrey Williams
                     Prof Dr Geoffrey Williams

 

 

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengesahkan bahawa ia menerima permohonan semakan semula kadar tarif daripada operator air di 10 negeri, iaitu Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, dan Pahang.

 

Terdahulu dilaporkan bahawa kerajaan negeri Pahang akan mengadakan rundingan bersama SPAN bagi membincangkan isu kawal selia air di negeri itu.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar negeri Kedah Datuk Mohamad Yusoff Zakaria berkata sumber kewangan yang kukuh amat penting bagi membolehkan operator membuat penambahbaikan dalam pengurusan bekalan air.

 

Di Kelantan, Exco Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin menyokong pelarasan tarif bagi memastikan perkhidmatan bekalan air dapat ditingkatkan untuk kebaikan rakyat.

 

Di Johor, Ranhill SAJ sebagai operator perkhidmatan air negeri sedang merangka penyelarasan tarif air dengan penuh teliti supaya tidak membebankan sebahagian besar pengguna.

 

Kesemua permohonan masih dalam proses penelitian bagi memastikan setiap aspek dinilai teliti sebelum kelulusan diberikan, dengan keutamaan kepada kesejahteraan 27.2 juta pengguna dan kemampuan operator menyediakan perkhidmatan berkualiti. - DagangNews.com