Padini sahkan semua akaun bank telah 'dibebaskan' SPRM, tiada pekerja didakwa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Padini sahkan semua akaun bank telah 'dibebaskan' SPRM, tiada pekerja didakwa

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Julai – Padini Holdings Bhd memaklumkan semua akaun bank milik syarikat dan anak-anak syarikatnya yang sebelum ini dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dinyahbekukan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata tiada mana-mana pengarah, pegawai, pekerja atau wakil kumpulan yang ditahan atau didakwa berhubung siasatan tersebut.

 

Selain itu, syarikat mengesahkan bahawa Padini mahupun mana-mana anak syarikatnya tidak menjadi subjek kepada sebarang prosiding pelucuthakan berkaitan siasatan berkenaan.

 

"Syarikat ingin menegaskan bahawa sejak awal siasatan lagi, kami secara konsisten menyatakan bahawa Padini dan mana-mana syarikat dalam kumpulan tidak terlibat dalam sebarang salah laku atau tindakan yang tidak wajar.

 

"Kumpulan kekal komited mengekalkan standard tertinggi dari segi integriti, ketelusan dan tadbir urus korporat, selain mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap rasuah, sogokan serta sebarang bentuk perlakuan yang menyalahi undang-undang atau tidak beretika," katanya.

 

Menurut Padini, perkembangan terbaharu itu menamatkan isu pembekuan akaun bank yang sebelum ini menimbulkan perhatian pelabur terhadap operasi dan kedudukan kewangan kumpulan.

 

Syarikat turut merakamkan penghargaan kepada pemegang saham, pelanggan, rakan perniagaan, pekerja dan semua pihak berkepentingan atas kepercayaan, kesabaran serta sokongan berterusan sepanjang tempoh siasatan dijalankan.

 

Padini berkata, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada operasi perniagaan seperti biasa sambil mengekalkan amalan tadbir urus korporat yang kukuh bagi memastikan keyakinan pemegang taruh terus terpelihara.

 

Pada 27 April, Padini mengesahkan sebanyak 21 akaun bank milik syarikat dan beberapa anak syarikatnya telah dibekukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

 

Kumpulan itu berkata akaun yang terlibat merangkumi tiga akaun di bawah Padini Holdings, empat akaun di bawah Yee Fong Hung (Malaysia) Sdn Bhd dan tujuh akaun di bawah Padini Corporation Sdn Bhd. - DagangNews.com