KUALA LUMPUR 2 Mac - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding berhubung tiga isu utama yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara termasuk isu berkaitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dua lagi isu ialah berkaitan program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I), dan syarikat Pelaburan Hartanah Bhd (PHB).
"Untuk UKM, LKAN telah membangkitkan isu-isu berhubung pelanggaran perlembagaan universiti, aktiviti pungutan hasil tanpa mandat, konflik kepentingan yang berakar umbi di kalangan penjawat awam serta kegagalan pengurusan projek naik taraf bangunan dan fasiliti uzur.
"Melalui LKAN, ramai dapat melihat ekosistem R&D&C&I ini jelas berdepan dengan defisit prestasi serta pembaziran, masalah tadbir urus kritikal serta kehilangan aset harta intelektual.
"PHB, LKAN telah membangkitkan isu berhubung pengurusan syarikat khususnya krisis tadbir urus projek fizikal yang dijalankan," katanya dalam kenyataan.
Mas Ermieyati berkata, tarikh prosiding serta saksi yang akan dipanggil untuk memberikan keterangan bagi tiga isu tersebut akan ditentukan kemudian.
Beliau turut menegaskan komitmen jawatankuasa itu untuk memastikan dana awam diuruskan dengan integriti, ketelusan dan kecekapan. - DagangNews.com








