PAC gesa Felcra semak semula sasaran bank tanah 30,000 hektar susulan pencapaian rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PAC gesa Felcra semak semula sasaran bank tanah 30,000 hektar susulan pencapaian rendah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Mac – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) perlu menilai semula sasaran pemerolehan bank tanah komersial seluas 30,000 hektar di bawah Pelan Transformasi 2.0 berikutan pencapaian yang masih rendah setakat ini.

 

Dalam laporannya PAC berkata, sasaran membangunkan 30,000 hektar ladang komersial dalam tempoh lima tahun perlu diselaraskan dengan keupayaan kewangan semasa agensi itu, memandangkan hanya 4,016.89 hektar atau 13% berjaya diperoleh sehingga tahun keempat pelaksanaan pada 2025.

 

“Kegagalan memperoleh bank tanah mencukupi menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan syarikat menampung kos operasi jangka panjang serta mengekalkan daya saing,” menurut laporan tersebut.

 

Dengan baki kira-kira 26,000 hektar masih belum dicapai, PAC berpandangan sasaran itu mungkin tidak realistik dalam keadaan kewangan semasa.

 

Felcra kata Badan pemantau Parlimen itu perlu merangka pelan pemerolehan yang lebih jelas dan memastikan sumber pembiayaan mencukupi bagi mengelakkan risiko terhadap kemampanan kewangan syarikat dalam menanggung kos operasi jangka panjang.

 

Isu tadbir urus pemerolehan ladang

Penemuan PAC itu susulan kebimbangan yang sebelum ini dibangkitkan oleh Jabatan Audit Negara Malaysia berhubung kelemahan tadbir urus dalam pemerolehan empat ladang kelapa sawit bernilai RM241.76 juta antara 2022 hingga 2024.

 

Pemerolehan berkenaan melibatkan satu ladang di Telupid, Sabah yang dibeli secara pegangan geran serta tiga ladang pegangan pajakan di Gua Musang, Kelantan iaitu Aring, Dabong dan Sungai Rawit 2, dengan keluasan keseluruhan 4,016.89 hektar.

 

PAC mendapati terdapat kelemahan dalam proses perolehan, penilaian hartanah serta penilaian prestasi hasil.

 

“Strategi membeli dan memulihkan ladang kurang berdaya maju serta lebih murah mendedahkan syarikat kepada tempoh yang panjang untuk mendapatkan semula modal pelaburan asal apabila hasil sebenar didapati berbeza ketara daripada unjuran awal.

 

“Tempoh pulangan pelaburan (ROI) terpaksa dilanjutkan antara 11 hingga 22 tahun,” katanya.

 

Selain itu, pemerolehan ladang Telupid dilaporkan dibuat dalam mesyuarat lembaga tanpa mematuhi keputusan lembaga terdahulu, manakala tiga ladang di Kelantan diperoleh dalam keadaan yang disifatkan sebagai tergesa-gesa.

 

Syor perketat disiplin pemerolehan

Bagi mengelakkan kelemahan sama berulang, PAC mengesyorkan Felcra melaksanakan penilaian bebas dan usaha wajar oleh perunding luar berkelayakan bagi semua pemerolehan ladang komersial baharu.

 

Agensi itu juga digesa mematuhi tempoh minimum antara 15 hingga 30 hari untuk menandatangani perjanjian pemerolehan selepas kelulusan lembaga bagi mengelakkan persepsi keputusan dibuat secara tergesa-gesa.

 

Walaupun Felcra berada di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, PAC memaklumkan pemantauan kementerian adalah terhad dan tidak melibatkan urusan operasi harian kerana perbelanjaan operasi dibiayai secara dalaman.

 

Kelulusan muktamad bagi pemerolehan aset atau ladang kelapa sawit dalam had kuasa lembaga — terhad kepada RM125 juta bagi pelaburan perladangan — terletak sepenuhnya di bawah lembaga pengarah Felcra.

 

Felcra dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan bertanggungjawab memulihkan serta membangunkan skim tanah milik kerajaan yang kurang berprestasi menjadi aset pertanian produktif, di samping meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar.

 

Secara keseluruhan, PAC mengemukakan sembilan syor bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan disiplin pemerolehan serta memastikan peluasan masa depan selari dengan kapasiti kewangan agensi tersebut. - DagangNews.com