KUALA LUMPUR 14 Mei — OSK Holdings Berhad mencatatkan hasil sebanyak RM1.66 bilion untuk FY24 yang menunjukkan berlaku peningkatan kira-kira 3.75 peratus berbanding RM1.6 direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.
Perkembangan kedudukan kewangan tersebut dilaporkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-35 dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) hari ini yang menandakan mesyuarat secara fizikal penuh pertamanya sejak 2019.
Sementara itu, keuntungan kasar kumpulan perniagaan pelbagai berkenaan turut dicatatkan sebagai bertambah sebanyak 10 peratus kepada RM611.4 juta, iaitu meningkat daripada kira-kira RM555.1 juta dilaporkan pada FY23.
"Prestasi lebih baik itu disokong oleh sumbangan kukuh merentas kebanyakan segmen perniagaan dengan kemajuan yang menggalakkan dalam hartanah dan perkhidmatan kewangan," kata Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Ong Leong Huat.
Beliau berkata, walaupun segmen perindustrian mencatatkan perbelanjaan tinggi, ia berkaitan pelaburan strategik termasuk pemerolehan dua kilang pembuatan kabel tambahan di Johor yang meningkatkan kapasiti akan datang.
OSK kata beliau, terus melihat pelaburan tersebut dalam mengembangkan keupayaan perindustrian dan juga dijangka menyokong pertumbuhan jangka panjang apabila kemudahan baharu itu mula dapat meningkatkan pengeluaran.
Leong Huat berkata, terbitan bonus dan pembayaran dividen lebih tinggi kali ini menunjukkan penghargaan kumpulan itu kepada para pemegang saham dan keyakinan OSK terhadap prospek masa depan syarikat.
"Ketika kami mula bergerak ke hadapan, kami perlu kekal fokus pada aspek kecemerlangan operasi dan merebut peluang pertumbuhan untuk menyampaikan nilai yang mampan kepada para pemegang saham kami sendiri," kata beliau.
Mesyuarat itu turut menyaksikan lembaga pengarah mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 5.0 sen sesaham untuk FY24 berbanding 4.0 sen pada FY23, menjadikan jumlah dividen FY24 kepada 8.0 sen daripada 7.0 sen pada FY2.
Dalam EGM pula, cadangan terbitan bonus satu saham bonus bagi setiap dua saham sedia ada diluluskan yang bertujuan untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham dengan meningkatkan penyertaan ekuiti mereka tanpa sebarang kos.
Pemberian khas tersebut juga sebagai tanda terima kasih kepada para pemegang saham atas kepercayaan dan sokongan berterusan mereka dalam visi kumpulan berkenaan selama ini. - DagangNews.com








