Orkim, Innoprise Plantation, Powerwell antara syarikat tersenarai dalam RHB Small Cap Top 20 Jewels Edisi 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Orkim, Innoprise Plantation, Powerwell antara syarikat tersenarai dalam RHB Small Cap Top 20 Jewels Edisi 2026

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Mei - Orkim, Innoprise Plantation dan Powerwell antara 20 syarikat Malaysia tersenarai dalam RHB Small Cap Top 20 Jewels Edisi 2026 yang  dilancarkan hari ini.

 

Turut berada dalam senarai menampilkan syarikat dengan permodalan saham kecil yang dikenal pasti mempunyai potensi pertumbuhan, daya tahan serta keupayaan penciptaan nilai jangka panjang ialah Crescendo Corporation, Dufu Technology Corp, Dutch Lady Milk Industries, ICT Zone Asia dan ISF Group.

 

Jati Tinggi, Kee Ming Group, Kobay Technology, Life Water, MCE Holdings, Optimax, Pantech Global, Reach-Ten Holdings, TMK Chemical, Verdant Solar dan Well Chip Group turut berada dalam senarai berkenaan.

  

RHB Banking Group (RHB) dalam kenyataan berkata, RHB Small Cap Top 20 Jewels Edisi 2026 menampilkan 60 syarikat small-cap di Malaysia, Singapura dan Indonesia yang dikenal pasti mempunyai potensi pertumbuhan, daya tahan serta keupayaan penciptaan nilai jangka panjang.

 

Pelancaran edisi terbaharu itu menandakan penerbitan ke-22 bagi Malaysia, selain edisi ke-16 bagi Singapura dan Indonesia, sekali gus mengukuhkan komitmen RHB dalam menyediakan pandangan pelaburan small-cap merentasi rantau ASEAN.

 

RHB berkata, pemilihan tahun ini dibuat berdasarkan saringan lebih 430 syarikat small-cap tersenarai oleh pasukan penyelidikan ekuiti serantau yang terdiri daripada 24 penganalisis dengan liputan di tiga negara berkenaan.

 

Secara keseluruhan, syarikat yang disenaraikan mempunyai permodalan pasaran gabungan sekitar ASD18.7 bilion.

 

Menurut RHB, segmen small-cap ASEAN terus mendapat perhatian pelabur susulan keperluan kepelbagaian pelaburan di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global, perubahan landskap perdagangan serta pencarian peluang pertumbuhan baharu di peringkat domestik.

 

Dalam pada itu, laporan berkenaan turut menampilkan syarikat daripada sektor teknologi, perindustrian, tenaga boleh baharu, penjagaan kesihatan dan pengguna yang disokong oleh trend struktur jangka panjang.

 

Ketua Penyelidikan Ekuiti Serantau RHB Investment Bank Berhad, Alexander Chia berkata, banyak syarikat small-cap ASEAN menunjukkan daya tahan operasi serta keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran ekonomi dan geopolitik yang mencabar.

 

“Walaupun ketidaktentuan global berterusan, kami melihat peluang menarik dalam sektor seperti infrastruktur digital, tenaga boleh baharu, pengembangan industri dan perniagaan berasaskan pengguna, khususnya syarikat dengan model perniagaan berskala dan keupayaan pelaksanaan kukuh,” katanya.

 

Beliau berkata, segmen small-cap kekal sebagai ruang penting untuk pelabur mengenal pasti syarikat yang berpotensi menjadi peneraju pasaran pada masa hadapan.

 

Sempena pelancaran itu, RHB turut menganjurkan sesi perbincangan bersama syarikat terpilih dari Malaysia, Singapura dan Indonesia yang memberi peluang kepada pelabur serta pengurus dana mendapatkan pandangan lebih mendalam mengenai tema pelaburan dan trend sektor.

 

Program tersebut menarik lebih 80 pelabur institusi, pengurus dana serta penganalisis buy-side dari seluruh Asia Tenggara termasuk syarikat insurans, pengurus aset, unit amanah, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan dana pencen.

 

RHB berkata, penerbitan Small Cap Top 20 Jewels telah menjadi antara inisiatif penyelidikan utama kumpulan dalam menyediakan idea pelaburan serta pandangan sektor merentasi pasaran ASEAN. - DagangNews.com