Oriental Kopi catat hasil suku pertama FY26 RM139.2 juta, keuntungan bersih naik 30% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Oriental Kopi catat hasil suku pertama FY26 RM139.2 juta, keuntungan bersih naik 30%

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Feb – Oriental Kopi Holdings Berhad, pengendali rangkaian kafe perkhidmatan makanan dan minuman (F&B), mencatatkan hasil suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) sebanyak RM139.2 juta, meningkat 42.3% berbanding RM97.8 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pertumbuhan hasil itu didorong terutamanya oleh operasi rangkaian kafe kumpulan yang kukuh, disokong permintaan berterusan daripada pelanggan tempatan dan pelancong antarabangsa.

 

Sumbangan daripada pengedaran dan runcit produk makanan berbungkus turut meningkat selaras dengan kenaikan jualan.

 

"Operasi kafe kekal menjadi penyumbang utama hasil, menjana RM125.5 juta atau 90.2% daripada jumlah hasil, manakala pengedaran dan runcit produk makanan berbungkus menyumbang RM12.3 juta atau 8.9%.

 

"Selaras dengan pertumbuhan hasil, keuntungan bersih meningkat 30.2% kepada RM17.0 juta daripada RM13.1 juta pada 1QFY25," kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

 

Dari segi pengembangan, Oriental Kopi kini mengendalikan 29 kafe di seluruh Malaysia, termasuk empat cawangan baharu di Queensbay Mall Pulau Pinang, Terminal 2 KLIA, Terminal 1 KLIA dan Sunway Velocity, Kuala Lumpur.

 

Kumpulan juga mengekalkan tiga kafe antarabangsa di Singapura melalui usaha sama dengan Paradise Group Holdings Pte Ltd.

 

Pengarah Urusan Datuk Calvin Chan Jian Chern berkata, syarikat akan terus mengembangkan rangkaian kafe domestik, meneroka pasaran luar terpilih, memperkenalkan menu inovatif serta meluaskan rangka produk makanan berbungkus.

 

"Kami juga bekerjasama dengan pengedar antarabangsa untuk mempromosikan jenama kami di pasaran global,” katanya.

 

Beliau menambah, kempen “Truly Malaysian Taste” yang dilancarkan bersama Tourism Malaysia mempamerkan produk khas Malaysia seperti kopi putih, kaya dan sambal, sambil memanfaatkan lokasi strategik kafe untuk menarik pelancong antarabangsa.

 

Dari segi kewangan, Oriental Kopi mengekalkan kedudukan tunai bersih kukuh sebanyak RM250.9 juta berbanding pinjaman RM3.3 juta setakat 31 Disember 2025, menunjukkan asas kewangan yang sihat untuk terus mengekalkan pertumbuhan. - DagangNews.com