OPR dijangka turun 25 mata asas pada suku ketiga - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OPR dijangka turun 25 mata asas pada suku ketiga - PublicInvest

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Jun - Public Investment Bank (PublicInvest) menjangka kadar dasar semalaman (OPR) mungkin diturunkan sebanyak 25 mata asas pada suku ketiga 2025, jika keadaan dalam negara kekal stabil dan penggantungan tarif antara negara diteruskan.

 

Buat masa ini, Bank Negara Malaysia (BNM) masih mengekalkan OPR pada paras 3.00%. 

 

Namun, sebagai langkah untuk menyokong ekonomi, BNM telah menurunkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) daripada 2% kepada 1%, berkuat kuasa 16 Mei lalu. 

 

Tindakan itu dijangka menambah kira-kira RM19 bilion ke dalam sistem perbankan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, terutama dalam keadaan tidak menentu di peringkat global, termasuk ketegangan perdagangan akibat dasar tarif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

 

Menurut PublicInvest, kenyataan dasar BNM pada bulan Mei turut menyentuh beberapa risiko ekonomi seperti kelembapan dalam pasaran eksport utama, sentimen lemah dalam kalangan pengguna dan perniagaan, serta pengeluaran komoditi yang semakin berkurang.

 

"Penekanan terhadap 'sentimen lemah' mungkin menunjukkan tanda awal kelembapan dalam perbelanjaan dan pelaburan sektor swasta," katanya dalam satu nota kajian.

 

Walaupun OPR masih belum berubah, PublicInvest melihat pengurangan SRR sebagai langkah awal untuk mengurangkan tekanan dalam pasaran kewangan dan menyokong pertumbuhan ekonomi dalam negara.

 

Dari segi pelaburan, PublicInvest menjangka kesan dasar semasa terhadap pendapatan amanah pelaburan hartanah (REIT) yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah kecil, termasuk REIT yang mempunyai pinjaman berkadar terapung. 

 

Jika OPR diturunkan, kos faedah dijangka turun antara 1 hingga 2%.

 

"Buat masa ini, kami masih kekalkan unjuran pendapatan dan penilaian 'neutral' untuk sektor ini. Walaupun dinilai pada harga semasa, dividen sekitar 5 peratus masih dianggap menarik," jelasnya.

 

REIT yang tersenarai di Bursa Malaysia kini menawarkan purata dividen kasar sekitar 6%, menjadikannya pilihan pelabur ketika pasaran tidak menentu.

 

PublicInvest juga menyatakan ia lebih mengutamakan Sunway REIT kerana memiliki pelbagai jenis aset dan pelan pertumbuhan agresif di bawah strategi Transcend 27. 

 

Pelan itu menyasarkan nilai portfolio meningkat daripada RM10 bilion kepada RM14 hingga RM15 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

 

Sunway REIT dijangka menerima sumbangan penuh pendapatan bagi tahun kewangan 2025 hasil daripada beberapa aset baharu seperti 163 Retail Park di Mont Kiara, Kluang Mall di Johor dan sebuah kemudahan industri di Prai, Pulau Pinang.

 

Selain itu, ruang runcit Oasis di Sunway Pyramid akan distruktur semula daripada 320,000 kaki persegi kepada 260,000 kaki persegi pada November 2024. 

 

Langkah berkenaan dijangka dapat meningkatkan kecekapan sewaan.

 

Berikutan perkembangan tersebut, PublicInvest menaikkan harga sasaran Sunway REIT kepada RM2.10, daripada RM1.80 sebelum ini, dengan anggaran hasil dividen sekitar 5.5% berdasarkan unjuran tahun kewangan 2026.

 

Firma penyelidikan itu turut menjangka jualan runcit di Malaysia sedang pulih, namun kadar sewa baharu bagi pusat membeli-belah utama dijangka kekal tidak berubah dalam masa terdekat disebabkan pertambahan ruang runcit dan ketidaktentuan pasaran. - DagangNews.com