KUALA LUMPUR 4 Sept – Keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa 2.75% dijangka memberi kestabilan kepada persekitaran ekonomi domestik, kata AmBank.
Malah firma penyelidikan itu menjangkakan kadar OPR pada paras 2.75% akan kekal sepanjang tahun 2025, disokong oleh tekanan inflasi yang terkawal dan asas ekonomi domestik yang masih kukuh.
“Kami mengekalkan pandangan bahawa kadar OPR semasa akan dikekalkan sepanjang tahun ini, memandangkan risiko peningkatan inflasi adalah terhad dan tiada tekanan permintaan domestik yang ketara,” kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memutuskan untuk mengekalkan kadar OPR pada paras 2.75%, selaras dengan prospek pertumbuhan ekonomi yang terus positif dan tekanan inflasi yang kekal terkawal.
Bank pusat itu berkata, petunjuk ekonomi semasa menunjukkan pengembangan berterusan dalam pertumbuhan global, didorong oleh perbelanjaan pengguna yang mampan dan aktiviti perniagaan yang dipercepatkan (front-loading).
Penyelesaian rundingan perdagangan antarabangsa turut menyumbang kepada penyusutan ketidaktentuan global.
Menurut AmBank sepanjang separuh pertama 2025, inflasi utama kekal sederhana walaupun mencatat sedikit peningkatan pada Julai berikutan pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Purata inflasi bagi tujuh bulan pertama berada pada 1.4% tahun ke tahun, lebih rendah berbanding 1.8% dalam tempoh sama tahun lalu, meletakkan unjuran inflasi 2025 kepada 1.5%, iaitu pada had bawah julat unjuran BNM antara 1.5% hingga 2.3%.
Dalam masa sama, pasaran buruh terus mencatat pertumbuhan stabil, disokong oleh dasar seperti kenaikan gaji penjawat awam, peningkatan gaji minimum, dan pelaksanaan Model Gaji Progresif (PWM), yang meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.
Namun begitu, kata firma itu, walaupun pasaran buruh kekal kukuh, perbelanjaan isi rumah masih sederhana, menunjukkan keyakinan pengguna masih belum pulih sepenuhnya.
"Kami menjangka penggunaan swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi, mencatat pertumbuhan 5.2% bagi 1H2025 berbanding 5.1% pada 2024.
"Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang secara mampan, disokong oleh kadar inflasi yang rendah, pasaran pekerjaan yang sihat, dan dasar fiskal yang menyokong pertumbuhan," kata firma itu. - DagangNews.com








