Operasi UK mula beri hasil, Kenanga Research kekal optimis prospek IJM Corporation | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Operasi UK mula beri hasil, Kenanga Research kekal optimis prospek IJM Corporation

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Julai - Strategi pasaran IJM Corporation Bhd (IJM) di United Kingdom (UK) yang memberi tumpuan kepada sektor hartanah berpulangan tinggi dan mempunyai kekangan bekalan dijangka membuka peluang pertumbuhan baharu, disokong pemulihan kewangan JRL Group yang semakin kukuh.

 

Kenanga Research berkata, IJM UK memberi tumpuan utama kepada penyaluran modal ke sektor seperti pejabat komersial di City of London, perumahan pelajar serta kediaman bersama (co-living) yang mencatatkan permintaan tinggi.

 

Menurutnya, segmen pejabat komersial di City of London mempunyai kadar kekosongan pembangunan baharu di bawah 2%, mencerminkan bekalan terhad dalam pasaran tersebut.

 

"IJM mempunyai tiga projek hartanah utama yang sedang dirancang iaitu Finsbury Circus di City of London, Royal Mint Gardens (Fasa 2) dan The Wheat Quarter di Welwyn Garden City.

 

"Projek-projek berkenaan sebagai aset berisiko rendah dengan kadar penghunian tinggi yang mampu menjana pendapatan berulang yang kukuh," katanya dalam nota penyelidikan hari ini selepas mengadakan lawatan tapak ke projek IJM di UK baru-baru ini.

 

Sementara itu Kenanga Research berkata pengambilalihan JRL Group oleh IJM mula menunjukkan hasil positif apabila syarikat tersebut kembali mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak £2.9 juta (kira-kira RM15.93 juta), berbanding kerugian £49 juta sebelum ini.

 

"Pihak pengurusan menjangkakan keuntungan meningkat kepada GBP12 juta hingga GBP16 juta menjelang Mac tahun depan sebelum mencapai GBP30 juta pada tahun berikutnya," katanya.

 

Prestasi itu, ditambah dengan buku tempahan bernilai £2 bilion daripada kontrak luaran yang mempunyai margin tinggi, meletakkan IJM pada kedudukan kukuh untuk mendapatkan semula pelaburan awal sebanyak £50 juta sepenuhnya menjelang 2028.

 

Dalam jangka panjang, JRL menyasarkan untuk mencapai keuntungan tahunan stabil sekitar GBP50 juta.

 

Projek Domestik

Kenanga Research berkata, IJM telah meningkatkan sasaran pengisian semula buku tempahan jangka pendek kepada RM9 bilion, merangkumi RM6 bilion projek domestik dan RM3 bilion projek luar negara.

 

Firma itu berkata sasaran terbaharu tersebut adalah sejajar dengan andaian asasnya iaitu RM5 bilion setahun bagi pasaran Malaysia dan RM3 bilion setahun bagi pasaran antarabangsa untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 (FY2027) dan FY2028.

 

Kenanga Research berkata, saluran projek domestik IJM kini disokong kukuh oleh pakej pusat data margin tinggi serta dua projek berkaitan semikonduktor, yang dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan segmen pembinaan kumpulan.

 

"Pemangkin jangka pendek utama termasuk pemuktamadan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Pulau Pinang (Pakej 2) menjelang pertengahan tahun, selain potensi pelaksanaan projek perumahan penjawat awam Nusantara bernilai lebih RM1 bilion di Indonesia menjelang akhir tahun," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Secara keseluruhan, Kenanga Research kekal positif terhadap penilaian segmen pembinaan IJM dengan mengekalkan harga sasaran berasaskan jumlah bahagian (SOP) sebanyak RM3.40 serta penarafan "Outperform" terhadap syarikat pembinaan berkenaan.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu turut mengingatkan beberapa risiko yang boleh menjejaskan prestasi IJM termasuk aliran kerja pembinaan yang kekal lemah, peningkatan kos bahan binaan, lebihan kos projek serta liabiliti berkaitan ganti rugi kelewatan ditetapkan. - DagangNews.com