KUALA LUMPUR 23 Okt – Pemegang saham utama Ho Hup Construction Co Bhd, Omesti Holdings Bhd yang memegang kepentingan sebanyak 10.4%, telah memanggil satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi menyingkirkan dua pengarah dan melantik pengarah baharu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Omesti mengemukakan usul untuk menyingkirkan Pengarah Eksekutif Datuk Wong Kit-Leong serta pengarah Low Kheng Lun, selain melantik Ong Koon Loong dan Bernard Chen Tong Liang sebagai pengarah baharu syarikat.
"Omesti turut mencadangkan agar semua pelantikan pengarah baharu yang dibuat antara tarikh notis dan tarikh EGM diisytiharkan tidak sah," kata kenyataan itu.
Omesti berkata EGM yang diadakan di bawah peruntukan Seksyen 310 (B) Akta Syarikat 2016 itu akan diadakan pada 20November 2025.
Bagaimanapun, tiada alasan rasmi dikemukakan bagi langkah pertukaran kepimpinan tersebut.
Berdasarkan rekod, Kit Leong telah berkhidmat dalam lembaga pengarah Ho Hup sejak 2010, manakala Kheng Lun menyertai syarikat pada 2011 dan memegang 4.42% kepentingan tidak langsung melalui Low Chee Group Sdn Bhd.
Sementara itu Koon Loong mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang audit dan kewangan, termasuk di Asdion Bhd dan Managepay Systems Bhd, manakala Bernard Chen Tong Liang membawa lebih tiga dekad pengalaman dalam kewangan korporat, perbankan dan pengurusan aset, antaranya di BIB Insurance Brokers di bawah Kumpulan Hong Leong serta OCBC Bank (Malaysia).
Langkah ini dibuat ketika Ho Hup sedang bergelut dengan kedudukan kewangan yang lemah, selepas anak syarikatnya Bukit Jalil Development Sdn Bhd gagal membayar pinjaman berjumlah RM112.69 juta, menyebabkan kumpulan itu diletakkan di bawah status Practice Note 17 (PN17) pada April lalu.
Ho Hup, yang terkenal dengan projek pembangunan di kawasan Bukit Jalil, kini sedang menilai beberapa langkah pemulihan untuk mengembalikan kedudukan kewangan dan keyakinan pelabur. - DagangNews.com








