NuEnergy terima kelulusan jual gas pertama di Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NuEnergy terima kelulusan jual gas pertama di Indonesia

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Sept  – Global Fortune Berhad menerusi anak syarikatnya, NuEnergy Gas Limited (NuEnergy) yang tersenarai di Bursa Saham Australia (ASX), mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tenaga Indonesia bagi pengeluaran gas pertama di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Tanjung Enim, Sumatera Selatan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia syarikat itu berkata, kelulusan itu diperolehi menerusi Dart Energy (Tanjung Enim) Pte Ltd (DETE), anak syarikat milik penuh NuEnergy.

 

Sementara itu NuEnergy dalam pengumuman kepada ASX menyatakan bahawa Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Republik Indonesia (MEMR) meluluskan peruntukan sebanyak 1 juta kaki padu standard gas sehari (1 MMSCFD) kepada PT Perusahaan Gas Negara Tbk (PGN), syarikat pengagihan gas milik kerajaan Indonesia.

 

Gas yang akan dibekalkan berasal daripada sumber Coal Bed Methane (CBM) dan merupakan sebahagian daripada Inisiatif Jualan Gas Awal syarikat itu.

 

Langkah ini menandakan permulaan kepada pelaksanaan Rancangan Pembangunan Fasa 1 yang telah diluluskan sebelum ini, yang menyasarkan pengeluaran gas sebanyak 25 MMSCFD dalam tempoh yang lebih panjang.

 

Dengan peruntukan gas rasmi kini diperoleh, DETE akan meneruskan proses memuktamadkan Perjanjian Jual Beli Gas bersama PGN.

 

NuEnergy menyifatkan perkembangan ini sebagai pencapaian penting dalam menjayakan strategi komersialisasi CBM di Indonesia, yang sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat dalam pasaran tenaga serantau.

 

Setakat ini, NuEnergy telah menyiapkan kerja penggerudian dan sedang menjalankan proses nyahair (dewatering) bagi tiga daripada empat telaga yang dirancang di bawah fasa jualan awal ini. 

 

"Proses pengeluaran gas terkawal berjalan seperti yang dijadualkan, manakala kerja penggerudian bagi telaga keempat sedang berlangsung," kata kenyataan itu.

 

Pencapaian ini turut selari dengan strategi tenaga nasional Indonesia yang mengutamakan peningkatan penggunaan gas domestik dan pengukuhan keselamatan tenaga negara. 

 

Kerajaan Indonesia secara aktif meletakkan gas asli sebagai bahan api peralihan utama dalam pelan hala tuju negara ke arah Sifar Bersih Emisi (Net Zero Emissions) menjelang tahun 2060. - DagangNews.com