KUALA LUMPUR 2 Julai - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) mendakwa gaji terendah yang diterima kakitangan Maybank adalah RM2,370 jauh lebih rendah daripada RM3,100 yang dinyatakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Maybank Datuk Khairussaleh Ramli.
Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, kenyataan itu sama sekali tidak boleh diterima kerana ia adalah jauh daripada faktar sebenar dan masih ramai pekerja barisan hadapan masih bergelut untuk memenuhi keperluan asas hidup.
Beliau berkata, kenyataan yang tidak tepat seperti itu bukan sahaja menjejaskan kepercayaan pekerja tetapi juga mencemarkan kredibiliti institusi diterajui Khairussaleh.
"Hakikatnya, pekerja memperoleh gaji jauh lebih rendah berbanding pihak pengurusan atasan yang menerima bayaran bonus yang sangat besar. Ini menunjukkan Maybank yang masih meneruskan ketidaksamaan pendapatan.
"Sekiranya CEO Maybank benar-benar ikhlas mahu memastikan pekerja Maybank menikmati kehidupan yang wajar (decent living), maka beliau mesti memastikan gaji pekerja seiring dengan keuntungan bank," katanya dalam satu kenyatan.
Terdahulu, Maybank memberitahu semua kakitangannya menerima pendapatan melebihi RM3,100 sebulan.
Bank memberitahu,gaji kakitangannya adalah melebihi paras gaji sara hidup, seperti yang ditanda aras berdasarkan Panduan Belanjawanku oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Solomon berkata, kenyataan yang dibuat Khairussaleh bukan sahaja mengelirukan orang awam malah memperdayakan Kementerian Kewangan, termasuk pemegang saham PNB dan KWSP dengan mendakwa kononnya komited memperjuangkan amalan pembayaran gaji yang adil di bawah inisiatif GLC Earnings for a Resilient and United People (GEAR-uP).
Beliau berkata, dakwaan itu tidak membawa sebarang makna apabila orang yang sama mengetuai struktur gaji di mana pekerja bergaji paling rendah hanya menerima RM2,370, jauh di bawah penanda aras gaji sara hidup RM3,100.
Katanya, tidanakan Maybank itu menyebabkan pekerja menderita dari segi kewangan dan berdepan cabaran tidak wajar di tempat kerja serta semasa melaksanakan aktiviti kesatuan sekerja.
"Kenyataan yang dibuat CEO bahawa Maybank kekal sebagai sebuah organisasi yang berteraskan nilai (value-driven organisation) hanyalah kenyataan yang kosong," katanya.
Solomon berkata, selama sedekad NUBE berusaha untuk memperjuangkan kesaksamaan pendapatan dan taraf hidup yang wajar untuk ahlinya dan faedah yang dinikmati termasuk pekerja Maybank adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui menerusi Perjanjian Kolektif.
Katanya, faedah yang diberikan itu bukan yang diberikan atas ihsan Maybank atau CEO kumpulan.
Beliau berkata, malangnya, perjanjian kolektif ke-20 itu telah dirujuk ke mahkamah kerana Menteri Sumer Manusia, Steven Sim Chee Keong dan CEO Maybank bertindak menutup sebelah mata terhadap konvensyen antarabangsa yang menghendaki rundingan kolektif diadakan secara sukarela di antara pihak terlibat.
"Dalam Perjanjian Kolektif ke-20, bank-bank termasuk Maybank telah mengambil pendirian untuk menarik daripada terma yang dipersetujui dalam Perjanjian Bersama ke-19," katanya. - DagangNews.com








