KUALA LUMPUR 29 Dis - Malaysia mencatatkan nilai eksport negara mencecah RM1.45 trilion bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, manakala jumlah dagangan keseluruhan mencapai RM2.77 trilion bagi tempoh yang sama.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pencapaian itu menandakan tahun kelima berturut-turut Malaysia berjaya memecahkan angka dagangan pada paras trilion, sekali gus meletakkan negara pada landasan untuk mencatat rekod baharu bagi keseluruhan tahun.
Beliau berkata, jika dibandingkan tempoh Januari hingga November tahun ini dengan tempoh sama tahun lepas, eksport meningkat hampir 6.1 peratus, dagangan naik 5.8 peratus, manakala import meningkat sekitar 5.6 peratus.
Selain itu, lebihan dagangan negara pula merekodkan sebanyak RM132.5 bilion bagi tempoh sama, meningkat 10.7 peratus, sekali gus mencerminkan prestasi perdagangan luar yang kukuh.
Reezal Merican yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam berkata demikian ketika ditemui selepas Program Khatan @ Hotel anjuran Pusat Khidmat ADUN Bertam dan UMNO Kepala Batas di Kepala Batas, semalam.
Menurut beliau, peningkatan eksport banyak didorong oleh permintaan tinggi terhadap produk semikonduktor yang mencatat pertumbuhan 17.5 peratus, farmaseutikal sebanyak 22.9 peratus serta produk optikal dan saintifik yang meningkat sekitar 10 peratus.
Dari segi pasaran utama, negara Asia kekal sebagai destinasi eksport terbesar Malaysia, diikuti Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah (EU) dan Hong Kong, dengan lima pasaran utama itu menyumbang hampir 68.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara.
Sementara itu, perdagangan dengan negara-negara yang mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut menunjukkan prestasi positif dengan peningkatan 3.2 peratus, merangkumi kira-kira 66.8 peratus nilai eksport termasuk Mexico, Hong Kong, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Chile, United Kingdom dan Kanada.
Beliau berkata lebih memberangsangkan ialah peningkatan ketara eksport ke pasaran baharu khususnya di Afrika dan Asia Tengah. Negara seperti Yaman mencatatkan peningkatan 62 peratus, Tanzania 37 peratus, Togo 30 peratus, Uzbekistan 23 peratus, Kenya 12 peratus, Nigeria 15 peratus dan Algeria 24 peratus.
Reezal Merican turut menjelaskan bahawa lawatan rasmi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa negara Afrika dan Asia Tengah telah memberi kesan positif kepada prestasi perdagangan dengan negara-negara berkenaan, sekali gus mencatatkan pertumbuhan dagangan dua digit.
Beliau optimis Malaysia akan mencatat nilai eksport dan dagangan tertinggi dalam sejarah apabila angka penuh prestasi tahun ini diumumkan pada 19 Januari tahun depan, sebelum MATRADE mengadakan Majlis Pengumuman Prestasi Dagangan Malaysia 2025 pada 27 Januari 2026.
Menurutnya, tahun ini dijangka mencatat satu lagi pencapaian terbaik apabila nilai eksport bukan sahaja memecahkan paras trilion, malah berpotensi melepasi rekod tertinggi sebelum ini iaitu RM1.55 trilion yang direkodkan pada 2022.
Dengan nilai eksport setakat ini berjumlah RM1.45 trilion, penambahan sekitar RM100 bilion bagi bulan Disember dijangka membawa jumlah keseluruhan kepada RM1.55 trilion atau RM1.56 trilion, sekali gus melepasi paras tertinggi sebelum ini, selari dengan jangkaan dagangan berjumlah RM2.77 trilion.
Angka muktamad prestasi dagangan tahun ini akan diketahui pada 19 Januari nanti. - BERNAMA








