Nextgreen Global dijangka catat prestasi lebih baik pada 2HFY26 dipacu pembangunan kilang pulpa berskala besar, kontrak baja di Libya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nextgreen Global dijangka catat prestasi lebih baik pada 2HFY26 dipacu pembangunan kilang pulpa berskala besar, kontrak baja di Libya

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei – Nextgreen Global Berhad mencatat keputusan suku pertama tahun kewangan 2026 (3MFY26) yang berada di bawah jangkaan Mercury Securities walaupun prestasi operasinya masih menunjukkan pertumbuhan yang positif dari segi hasil dan keuntungan.

 

Menurut Mercury Securities, keputusan 3MFY26 hanya menyumbang sekitar 10% daripada unjuran penuh tahun kewangan 2026 (FY26), namun ia masih dianggap selaras dengan jangkaan dalaman mereka kerana sebahagian pelaksanaan projek dijangka mula memberi kesan pada separuh kedua FY26 (2HFY26).

 

“Pendapatan kumpulan meningkat sebanyak 26% tahun ke tahun kepada kira-kira RM18 juta berbanding RM14 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, dipacu oleh segmen pembuatan yang mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 41%.

 

“Pertumbuhan ini disokong oleh jualan baja cecair serta produk pulpa dan kertas yang lebih tinggi dengan segmen pulpa dan kertas meningkat 18% kepada RM4 juta berikutan peningkatan volum serta permintaan pasaran.

 

“Dari segi keuntungan kasar kumpulan mencatat peningkatan ketara sebanyak 51% kepada RM13 juta berbanding RM9 juta sebelum ini, dengan margin kasar meningkat kepada 72% berbanding 61% pada tempoh sama tahun lalu,” kata Mercury Securities dalam nota kajiannya.

 

Walaupun margin kasar menunjukkan peningkatan, margin keuntungan operasi mencatat sedikit tekanan apabila EBITDA meningkat hanya 11% tahun ke tahun kepada RM12 juta, manakala margin EBITDA menurun kepada 66% berbanding 75% sebelumnya akibat peningkatan kos operasi.

 

Peningkatan perbelanjaan pentadbiran telah menyebabkan margin perbelanjaan operasi melebar kepada 13% berbanding 9% sebelum ini, namun keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan pendapatan lain sebanyak RM4 juta berbanding RM3 juta pada tempoh sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum cukai meningkat sederhana sebanyak 6% tahun ke tahun kepada RM8 juta, namun margin PBT mengecil kepada 43% berbanding 51% pada tahun sebelumnya, terkesan oleh lonjakan 88% dalam kos kewangan bersih serta penurunan kecil dalam susut nilai.

 

Seiring dengan itu, keuntungan bersih  kumpulan meningkat sebanyak 11% kepada RM8 juta, dengan margin keuntungan bersih sekitar 45% berbanding 51% sebelumnya, disokong oleh manfaat pelepasan cukai.

 

Dari segi prestasi suku ke suku (QoQ), pendapatan merosot sebanyak 36% kepada RM18 juta berbanding RM28 juta pada suku sebelumnya, namun margin keuntungan kasar sedikit meningkat kepada 72% berbanding 71%.

 

Sebaliknya, keuntungan sebelum cukai susut sebanyak 58% QoQ kepada RM8 juta, dipengaruhi oleh peningkatan margin OPEX kepada 13% berbanding 7% sebelum ini, penurunan ketara pendapatan lain kepada RM4 juta berbanding RM11 juta, serta peningkatan kos kewangan bersih.

 

Dari sudut prospek, Mercury Securities kekal positif terhadap jangka panjang Nextgreen Global disokong oleh beberapa pemangkin utama termasuk usaha sama dengan Hong Kong Paper Source bagi pembangunan kilang pulpa EFB berkapasiti 150,000 MTPA di bawah GTP Fasa 2A.

 

Selain itu, projek loji baja pepejal berkapasiti 30,000 MT yang hampir siap masih menunggu kelulusan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), di samping usaha memperluas pasaran baja ke peringkat domestik dan antarabangsa.

 

Kontrak pengedaran di Libya yang dianggarkan menyumbang antara RM70 juta hingga RM75 juta setahun kepada pendapatan kumpulan juga dijangka memberi impak bermakna pada separuh kedua 2026, tertakluk kepada kelulusan kawal selia.

 

Secara keseluruhan, Mercury Securities mengekalkan unjuran pendapatan FY26 dan FY27 masing-masing pada RM83.6 juta dan RM104.3 juta, dengan margin keuntungan kasar dan margin keuntungan bersih dikekalkan pada 70% dan 43%.

 

Syarikat turut mengekalkan saranan Pegang dengan harga sasaran tidak berubah, mencerminkan fasa pelaksanaan projek yang masih berjalan serta potensi pertumbuhan yang belum direalisasikan sepenuhnya dalam jangka masa terdekat. - DagangNews.com