KUALA LUMPUR 23 Mei — NexG Berhad dan LUN Partners Financial Limited (LPF) meneroka peluang untuk bekerjasama dalam pengkomersialan teknologi dan rumusan milik NexG di peringkat antarabangsa, yang tidak terhad kepada teknologi pengesahan identiti digital dan keselamatan siber.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Hanifah Noordin berkata, kerjasama ini merupakan langkah penting dalam strategi syarikat memperluaskan penawaran rumusan identiti digital selamat, keselamatan siber dan teknologi kewangan ke pasaran Asia dan global.
Tambah beliau, menerusi pemeteraian memorandum persefahaman, NexG dan LPF akan bekerjasama memacu inovasi produk dan aplikasi bagi menyokong permintaan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur digital dipercayai melibatkan kedua-dua sektor awam dan swasta di seluruh dunia.
“NexG akan menyediakan akses kepada teknologi hak milik dibangunkan di Malaysia termasuk sokongan teknikal, penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan, serta penyesuaian sistem selain memastikan kesepadanan dengan piawaian global," kata beliau dalam satu kenyataan.
Kedua-dua pihak tambah Hanifah, turut terbuka untuk membentuk usaha sama berdasarkan bidang kuasa yang sesuai bagi membina kerjasama strategik jangka panjang dan kerjasama sebegini mencerminkan aspirasi NexG untuk mengetengahkan teknologi buatan Malaysia ke pentas antarabangsa.
Dengan sokongan LPF kata beliau, NexG sebagai peneraju dalam bidang rumusan teknologi selamat dan pengenalan digital yang tersenarai di Bursa Malaysia, yakin dapat mempercepatkan lagi penggunaan platform digital lebih selamat dan berskala dalam pelbagai ekonomi digital.
LPF ialah penasihat strategik LUN Partners Group (LPG) yang berpangkalan di Asia dan merupakan firma pelaburan global dengan rekod prestasi kukuh merentas teknologi kewangan, kecerdasan buatan (AI), Big Data serta pembuatan pintar, termasuk pelaburan dalam enam syarikat berstatus unicorn.
Syarikat itu akan memanfaatkan jaringan global dan ekosistem pelaburan luas LPG bagi memperkenalkan rakan niaga antarabangsa, termasuk portfolio LPG, selari matlamat strategik NexG selain mengetuai usaha pemasaran, pemerolehan pelanggan, pelaksanaan operasi, sokongan pematuhan dan penyesuaian serantau.

Sementara itu, Pengarah Urusan LPF, William Ding berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan NexG untuk meningkatkan lagi tahap teknologi inovatif mereka di seluruh dunia dan pada masa yang sama, membawa NEXG ke dalam rangkaian rakan kongsi globalnya.
"Kami memperkukuhkan ekosistem antarabangsa kami terutamanya di rantau Asia Tenggara, dan membuka peluang baharu untuk transformasi digital pasaran yang menuntut daya tahan, kepercayaan dan kepakaran teknikal yang mendalam,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Kerjasama ini hadir pada waktu pasaran global bagi rumusan digital sedang berkembang pesat dengan dijangka meningkat daripada AS$47.36 bilion pada 2025 kepada sekitar AS$173.13 bilion menjelang 2033, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 17.59 peratus.
Pasaran teknologi kewangan global pula kata beliau, dijangka mencecah AS$394.88 bilion pada 2025, manakala pasaran keselamatan siber diunjur kira-kira AS$644.4 bilion menjelang 2033.
Trend tersebut kata William mencerminkan peluang besar kepada syarikat seperti NexG dan LPF untuk menyumbang dan meraih manfaat daripada pertumbuhan ekonomi digital global.
Kerjasama ini mengukuhkan lagi transformasi NexG sebagai peneraju serantau dalam pembentukan ekosistem digital selamat, serta mencerminkan peranan Malaysia yang semakin penting sebagai hab eksport inovasi teknologi dipercayai. - DagangNews.com








