KUALA LUMPUR 18 Julai - NationGate Holdings Bhd berkata, serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini ke atas anak syarikat milik penuhnya di Pulau Pinang tidak dijangka memberi kesan ketara kepada prestasi kewangan atau operasinya.
“Buat masa ini, serbuan SPRM tidak dijangka memberi impak yang signifikan ke atas kewangan dan operasi kumpulan,” kata NationGate dalam makluman di Bursa Malaysia, sebagai maklum balas terhadap pertanyaan daripada pihak pengawal selia.
Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik itu menjelaskan, pemeriksaan dan rampasan oleh SPRM hanya melibatkan NationGate Solution (M) Sdn Bhd, yang bukan anak syarikat utama mengikut Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa.
Siasatan tersebut tidak dipercayai melibatkan entiti lain dalam kumpulan tersebut.
Pada 15 Julai lalu, SPRM telah menyerbu premis NationGate Solution berhubung siasatan yang sedang dijalankan berkaitan dakwaan penyeludupan besi buruk.
Pasaran bertindak balas dengan pantas terhadap berita itu.
Saham NationGate merosot sehingga 16% atau 26 sen sejurus selepas dagangan disambung semula selepas rehat tengah hari.
Saham tersebut ditutup dengan kejatuhan sebanyak 7.5% pada RM1.49, mencatatkan penutupan terendah sejak 23 Jun.
Serbuan ini dipercayai sebahagian daripada operasi besar-besaran peringkat kebangsaan yang dikenali sebagai “Op Metal,” yang menyasarkan sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri.
Bernama melaporkan bahawa sindiket tersebut disyaki merasuah pegawai penguat kuasa dan mungkin telah menyebabkan kerugian hasil cukai kerajaan melebihi RM950 juta. - DagangNews.com








