Mudajaya dapat hak milikan hartanah RM152.36 juta, bayaran kepada kerja pembinaan yang telah disiapkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mudajaya dapat hak milikan hartanah RM152.36 juta, bayaran kepada kerja pembinaan yang telah disiapkan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Okt - Mudajaya Group Bhd akhirnya memperoleh hak milikan ke atas beberapa unit hartanah bernilai RM152.36 juta yang dijanjikan sebagai bayaran bagi kerja-kerja pembinaan yang telah disiapkan bagi projek pembangunan bercampur di Jalan Sultan Ismail, di sini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Mudajaya memberitahu syarikat itu telah mendapat perintah pelaksanaan khusus daripada Mahkamah Tinggi pada 22 Oktober, bagi mengarahkan pemaju Crest Worldwide Resources Sdn Bhd menyerahkan hak milik kosong ke atas hartanah berkenaan.

 

Hartanah tersebut merangkumi 25 unit pangsapuri kediaman, lima unit kedai komersial, 142 unit pejabat, 284 petak tempat letak kereta serta 99 petak parkir motosikal. 

 

Menurut Mudajaya, nilai keseluruhan hartanah tersebut dianggarkan RM152.36 juta setakat akhir tahun 2024.

 

Berdasrkan maklumat umum, projek The Crest Towers bermula pada 2007, apabila Crest Worldwide Resources melantik Mudajaya sebagai kontraktor utama bagi pembangunan menara bercampur tersebut.

 

Disebabkan ketidakmampuan pihak pemaju untuk membuat bayaran bagi kerja-kerja yang disiapkan, kedua-dua pihak menandatangani beberapa perjanjian untuk menjadikan penyerahan unit-unit dalam projek tersebut sebagai bayaran, termasuk satu perjanjian kompromi dan penyelesaian pada 2013.

 

Perjanjian penyelesaian terakhir dimeterai pada April 2016, di mana Mudajaya bersetuju untuk menyiapkan baki kerja-kerja projek itu dengan menanggung sendiri kosnya. Projek tersebut akhirnya disiapkan sepenuhnya pada tahun 2017.

 

Namun, selepas projek siap, hak milik kosong ke atas unit-unit yang dipersetujui tidak diserahkan kepada Mudajaya, menyebabkan kumpulan itu memulakan tindakan undang-undang pada 2019.

 

Crest Worldwide diaporkan kini dalam proses pembubaran syarikat. - DagangNews.com