MALAYSIA tidak pernah sunyi daripada kritikan yang mengaitkan industri kelapa sawit dengan kemusnahan hutan, kehilangan habitat semula jadi dan ancaman terhadap hidupan liar.
Di pentas antarabangsa, pelbagai dakwaan pernah dibangkitkan sehingga ada yang melihat pembangunan industri sawit seolah-olah berlaku dengan mengorbankan biodiversiti negara.
Hakikatnya, di sebalik persepsi itu, pelbagai usaha sedang digerakkan bagi membuktikan pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar mampu bergerak seiring.
Bukan sekadar di atas kertas atau melalui laporan kemampanan syarikat, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan di kawasan perladangan yang menjadi nadi kepada industri sawit negara.
Antara organisasi yang memikul tanggungjawab tersebut ialah Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) yang memberi tumpuan kepada usaha memulihkan hutan, melindungi habitat hidupan liar serta membantu syarikat perladangan melaksanakan amalan yang lebih lestari menerusi projek berasaskan penyelidikan saintifik.
Dalam persekitaran perniagaan hari ini, syarikat bukan sahaja dinilai berdasarkan prestasi kewangan, malah sejauh mana mereka menjaga alam sekitar dan mengurus sumber semula jadi secara bertanggungjawab.

Kelestarian Bukan Lagi Sekadar Pilihan
Bagi syarikat perladangan, pelaksanaan inisiatif pemuliharaan bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial korporat. Ia membantu memperkukuh prestasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), meningkatkan keyakinan pelabur serta membuka lebih banyak peluang dalam pasaran yang mengutamakan produk dihasilkan secara mampan.
Di lapangan, manfaatnya lebih besar daripada itu. Koridor hidupan liar dibina supaya haiwan seperti gajah Borneo dapat bergerak dengan lebih selamat, kawasan hutan dipulihkan untuk mengembalikan habitat semula jadi manakala penyelidikan biodiversiti diteruskan bagi memastikan spesies seperti Orang Utan dan beruang matahari terus dilindungi.
ARTIKEL BERKAITAN: Kejayaan koridor gajah Borneo diteruskan dengan kajian rumput Napier oleh industri perladangan sawit di Sabah
Melihat Sendiri Inisiatif MPOGCF Di Sabah
Hasil penyertaan penulis dalam lawatan kerja MPOGCF ke Sabah baru-baru ini membuka peluang untuk melihat sendiri bagaimana pelbagai inisiatif itu dilaksanakan.
Lawatan tersebut membawa sekumpulan media dari pelbagai agensi berita ke beberapa lokasi pemuliharaan yang menjadi bukti bahawa usaha melindungi biodiversiti bukan sekadar slogan.
Sepanjang lawatan itu, kami diberi penerangan mengenai projek yang dilaksanakan hasil kerjasama syarikat perladangan, agensi kerajaan, institusi penyelidikan, universiti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pendekatan ini memastikan setiap projek dirancang berdasarkan keperluan sebenar habitat dan disokong oleh kajian saintifik.
Bagi memahami dengan lebih mendalam usaha yang digerakkan yayasan itu, DagangNews menemubual Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud mengenai peranan organisasi tersebut dalam membantu syarikat memperkukuh amalan kelestarian, melindungi biodiversiti serta memenuhi jangkaan pelabur terhadap prestasi ESG.

DagangNews: Berapa banyak syarikat perladangan yang bekerjasama dengan MPOGCF setakat ini?
Hairulazim: Setakat ini, hampir 20 syarikat perladangan telah menjalinkan kerjasama dengan MPOGCF. Antaranya termasuk SD Guthrie, Felda, FGV, Sabah Softwoods Berhad, Sawit Kinabalu Group, YP Hevea Sdn Bhd, Tradewinds Plantations Berhad, TDM Plantations, TH Plantations Berhad dan Sarawak Oil Palm Berhad.
Kerjasama tersebut meliputi pelbagai projek seperti pemulihan hutan, perlindungan hidupan liar, penyelidikan biodiversiti serta pelaksanaan amalan perladangan yang lebih lestari.
MPOGCF turut bekerjasama dengan agensi kerajaan, universiti dan NGO bagi memastikan setiap projek memberi impak yang benar-benar dapat dirasai oleh alam sekitar dan komuniti setempat.
Bagi MPOGCF, kejayaan tidak diukur berdasarkan jumlah syarikat yang menyertai program kami kerana apa yang lebih utama ialah sejauh mana kerjasama itu mampu memulihkan habitat, mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar serta membantu industri sawit bergerak ke arah pembangunan yang lebih mampan.

Bagaimana inisiatif pemuliharaan MPOGCF membantu syarikat memenuhi keperluan ESG?
Permintaan terhadap minyak sawit yang dihasilkan secara mampan semakin meningkat, menyebabkan syarikat perlu membuktikan komitmen mereka terhadap pemuliharaan biodiversiti dan alam sekitar.
Projek yang dilaksanakan bersama MPOGCF membantu syarikat memperkukuh prestasi ESG, menyokong pematuhan kepada pensijilan seperti MSPO serta meningkatkan keyakinan pelabur dan institusi kewangan.
Usaha ini turut memberi manfaat kepada komuniti setempat melalui peluang pekerjaan, aktiviti pemuliharaan dan program kesedaran alam sekitar yang dilaksanakan bersama penduduk.

ARTIKEL BERKAITAN: Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia agih RM50,000 bagi konservasi beruang madu di Sabah
Apakah bentuk sokongan yang diberikan kepada syarikat perladangan?
Kami menyediakan pelbagai bentuk sokongan termasuk pembiayaan projek pemuliharaan, perkongsian dana, khidmat nasihat teknikal serta bantuan daripada rangkaian pakar dalam bidang biodiversiti.
Yayasan turut menjadi platform yang menghubungkan syarikat dengan agensi kerajaan, institusi penyelidikan, universiti dan NGO bagi memastikan projek dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
Pada masa sama, setiap projek dipantau dan dinilai bagi memastikan hasilnya dapat diukur serta digunakan oleh syarikat dalam pelaporan kemampanan masing-masing.
Bagaimana kerjasama dengan MPOGCF meningkatkan daya saing syarikat di peringkat antarabangsa?
Ketika ini, pasaran eksport semakin memberi perhatian terhadap aspek kelestarian dalam rantaian bekalan minyak sawit.
Justeru, syarikat yang melaksanakan projek pemuliharaan mempunyai kelebihan kerana mampu menunjukkan komitmen mereka terhadap perlindungan biodiversiti melalui data dan hasil projek yang dilaksanakan.
Pendekatan itu membantu meningkatkan keyakinan pelanggan, pelabur dan institusi kewangan, selain memperkukuh reputasi syarikat di pasaran antarabangsa.
ARTIKEL BERKAITAN: Projek pemulihan hutan oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia di Sabah raih pengiktirafan antarabangsa
Apakah impak yang dapat dilihat hasil projek MPOGCF?
Impak positif utama dapat dilihat melalui kejayaan beberapa projek pemuliharaan yang telah menerima pengiktirafan di peringkat industri.
Antaranya, projek seperti Nurseri Kampung Tampenau serta Human Elephant Conflict (HEC) Sungai Ara membuktikan kerjasama antara industri dan pelbagai pihak mampu menghasilkan manfaat yang besar kepada biodiversiti.
Setiap kejayaan itu menjadi bukti bahawa usaha pemuliharaan bukan sekadar memenuhi keperluan laporan ESG, sebaliknya benar-benar memberi kesan kepada perlindungan habitat dan hidupan liar.


Apakah perancangan MPOGCF selepas ini?
Kami akan terus memperluaskan kerjasama dengan lebih banyak syarikat perladangan melalui konsep 3P iaitu Profit, People dan Planet.
Antara tumpuan utama ialah memperbanyakkan lagi projek berimpak tinggi, memperkukuh pembinaan koridor hidupan liar, meningkatkan program latihan berkaitan biodiversiti dan MSPO serta menambah baik sistem pemantauan biodiversiti bagi membantu syarikat menyediakan pelaporan ESG yang lebih menyeluruh.
Kami juga berharap lebih banyak syarikat melihat pemuliharaan sebagai satu pelaburan jangka panjang.
Apabila habitat terus dipelihara dan hidupan liar dapat dilindungi, manfaatnya bukan sahaja dirasai oleh alam sekitar, malah membantu memastikan industri sawit Malaysia kekal diyakini dan berdaya saing di pentas dunia. - DagangNews.com








