KUALA LUMPUR 26 Mei – Eastern & Oriental Berhad (E&O) menutup tahun kewangan 2026 (FY2026) dengan prestasi terbaik dalam sejarah syarikat apabila merekodkan peningkatan hasil, keuntungan serta jualan hartanah disokong momentum kukuh projek pembangunan di Pulau Pinang dan Lembah Klang.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 itu, kumpulan mencatat hasil sebanyak RM867.6 juta, meningkat 17% berbanding tahun sebelumnya hasil sumbangan projek pembangunan sedang berjalan serta projek baharu yang dilancarkan sepanjang tahun.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, E&O berkata keuntungan sebelum cukai (PBT) pula meningkat 35% kepada RM293.1 juta manakala keuntungan selepas cukai (PAT) naik 34% kepada RM243.9 juta berbanding FY2025.
“Jika tidak mengambil kira kesan kerugian pertukaran asing di atas kertas serta beberapa item luar biasa, keuntungan operasi teras E&O meningkat 39% kepada RM278.6 juta berbanding RM199.9 juta tahun sebelumnya.
“Bagi suku keempat FY2026 sahaja, E&O merekodkan hasil RM235.9 juta dengan PBT sebanyak RM72.6 juta dan PAT RM66.4 juta.
“Prestasi suku tahunan itu turut menunjukkan peningkatan kukuh apabila PAT melonjak 72% kepada RM81.2 juta berbanding RM47.2 juta dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam makluman tersebut.
Segmen hartanah kekal menjadi penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan apabila merekodkan hasil RM753.9 juta atau bersamaan 87% daripada jumlah keseluruhan hasil FY2026.
Menurut E&O, prestasi lebih baik itu dipacu kemajuan pembinaan yang stabil serta jualan memberangsangkan daripada projek pembangunan di Pulau Andaman, Pulau Pinang selain beberapa projek di Lembah Klang.
Sepanjang FY2026, kumpulan turut mencatat jualan hartanah tertinggi dalam sejarah syarikat sebanyak RM1.4 bilion, manakala jualan belum dibil meningkat kepada RM1.7 bilion yang memberi keterlihatan pendapatan lebih kukuh kepada kumpulan pada masa hadapan.
Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata, pencapaian itu mencerminkan momentum operasi yang semakin kukuh selain menunjukkan permintaan berterusan terhadap pembangunan utama syarikat.
Katanya, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek secara berdisiplin, menghasilkan produk yang berbeza di pasaran serta mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang taruh ketika E&O terus memperkukuh saluran pembangunan dan memajukan pelan induk Pulau Andaman.
Beliau berkata, beberapa projek utama di Pulau Andaman seperti The Lume, The Maris, AVÉA serta projek kediaman bertanah Fera dan Senna terus menerima sambutan menggalakkan daripada pembeli dan menjadi antara pemacu utama pertumbuhan kumpulan.
E&O berkata, pembangunan Andaman Island yang melibatkan projek penambakan seluas 760 ekar dijangka berkembang sebagai hab pembangunan gaya hidup premium baharu di Pulau Pinang.
Ke hadapan, kumpulan merancang melancarkan dua lagi projek kediaman baharu dalam tahun kewangan akan datang selain terus meneroka peluang pembangunan komersial di Pulau Andaman bagi mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemaju hartanah gaya hidup premium. - DagangNews.com








