KUALA LUMPUR 28 Okt – Aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam sektor perladangan dijangka terus meningkat pada tahun depan didorong oleh langkah monetisasi tanah ladang utama dan harga minyak sawit mentah (CPO) yang tinggi, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Menurut bank pelaburan tersebut, aktiviti M&A dalam sektor perladangan meningkat ketara sepanjang 2025 dengan nilai transaksi mencecah RM2 bilion setakat ini.
"Kami menjangkakan momentum ini akan berterusan ke tahun 2026, didorong oleh langkah monetisasi tanah ladang utama oleh syarikat seperti Sime Darby Plantation (SDG), Genting Plantations (GENP) dan Kuala Lumpur Kepong (KLK).
"Dalam masa sama, beberapa syarikat bermodal sederhana dan kecil yang masih kurang dihargai berdasarkan penilaian Enterprise Value (EV) per hektar — dengan diskaun antara 37% hingga 49% berbanding harga transaksi fizikal purata — dilihat sebagai calon pengambilalihan persendirian yang menarik.
"Ini termasuk Sarawak Oil Palms (SOP) dan Hap Seng Plantations (HAPL) dengan syarikat pilihan utama (Preferred BUY): SDG dan SOP," kata bank pelaburan itu dalam nota kajian hari ini.
Menurut Maybank, pada Ogos 2025, pasaran menyaksikan penswastaan dan nyahsenarai FGV Holdings Bhd, susulan kejayaan penswastaan Boustead Plantations Bhd oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada 2023 dengan kos sekitar RM1.1 bilion.
Sebagai perbandingan, penswastaan FGV dijangka menelan belanja sehingga RM600 juta oleh FELDA, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan transaksi M&A tahun ini kepada sekitar RM2.06 bilion, hampir dua kali ganda nilai transaksi 2024.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira 45% nilai M&A berkaitan dengan pembangunan hartanah. Transaksi paling ketara ialah penjualan tanah SDG seluas 484 hektar di MVV 2.0 kepada entiti usaha sama dikendalikan ECW bagi pembangunan taman perindustrian bernilai RM573 juta tunai, atau bersamaan RM1.61 juta sehektar (pra-penukaran tanah).
Harga transaksi tersebut adalah 33 kali ganda lebih tinggi daripada purata harga fizikal tanah ladang yang didagangkan sekitar RM49,100 sehektar (2023–2025).
Menurut Maybank IB, dorongan utama di sebalik aktiviti M&A dan penswastaan termasuk komitmen terhadap dasar NDPE (No Deforestation, No Peat, No Exploitation) yang meningkatkan permintaan terhadap tanah brownfield memandangkan peluang greenfield semakin terhad.
Kedua, usaha membuka nilai daripada tanah ladang utama yang diperoleh sejak beberapa dekad lalu, sambil melabur semula hasil jualan ke dalam tanah pertanian yang lebih murah.
Ketiga, tekanan kos operasi dan kekurangan tenaga kerja yang mendorong penyatuan industri kerana pemain kecil tidak mampu bersaing dari segi skala ekonomi; dan penilaian rendah terhadap beberapa syarikat perladangan tersenarai.
Pemerhatian menunjukkan jurang besar antara harga fizikal transaksi tanah (purata RM49,100/ha) dan penilaian ekuiti syarikat SMID cap yang hanya sekitar RM25,000/ha hingga RM36,000/ha, jauh di bawah kos penggantian industri semasa.
Maybank menjangkakan SOP dan HAPL sebagai calon utama penswastaan memandangkan kedua-duanya mempunyai kedudukan tunai bersih kukuh yang mampu membiayai proses tersebut secara dalaman.
Secara ringkasnya, SOP kini diniagakan pada RM25,001 EV/hektar tanaman, 0.76x nilai buku (PBV), 7x unjuran PER FY2026, serta mempunyai tunai bersih sebanyak 141 sen sesaham.
Bagi HAPL (tidak dinilai), ia didagangkan pada RM32,556 EV/hektar, 0.82x PBV, 11.6x PER FY2026, dan tunai bersih 74 sen sesaham.
Selain itu, Chin Teck Plantations (CTP) turut menarik perhatian sebagai kaunter undervalued dengan EV hanya RM26,387/ha, 0.96x PBV, 9x PER sejarah, serta tunai bersih tinggi 527 sen sesaham. - DagangNews.com








