MN Holdings rancang kumpul RM95.88 juta melalui penempatan saham persendirian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MN Holdings rancang kumpul RM95.88 juta melalui penempatan saham persendirian

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Ogos – MN Holdings Bhd merancang untuk mengumpul sehingga RM95.88 juta menerusi penempatan saham persendirian membabitkan sehingga 10% daripada modal saham diperbesarkan bagi memenuhi keperluan modal kerja syarikat.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, langkah itu akan melibatkan penerbitan sehingga 67.62 juta saham baharu, dengan hasil kutipan berasaskan harga indikatif RM1.418 sesaham – iaitu diskaun 9.97% daripada purata harga wajaran volum lima hari (VWAP) sebanyak RM1.575. Harga terbitan muktamad akan ditentukan kemudian.

 

Hasil kutipan dana berkenaan bakal digunakan untuk pembelian peralatan utama termasuk earthing transformer, gas-insulated substation serta switchgear capacitive voltage transformers.

 

Penempatan saham itu menandakan langkah pengumpulan dana pertama syarikat sejak penyenaraiannya pada April 2022, dan dijangka dimuktamadkan menjelang suku keempat 2025.

 

MN Holdings yang dikenali sebagai pakar utiliti bawah tanah dan kejuruteraan pencawang telah merekodkan prestasi kewangan yang memberangsangkan, apabila keuntungan bersih meningkat daripada RM5.5 juta pada tahun kewangan 2022kepada RM16.9 juta pada tahun kewangan 2024.

 

Memandang ke hadapan, kumpulan itu optimis untuk merebut peluang di bawah National Energy Transition Roadmap (NETR), pelan perbelanjaan modal (capex) Tenaga Nasional Bhd berjumlah RM42.8 bilion bagi tempoh 2025–2027, selain pertumbuhan pesat sektor pusat data yang kian rancak.


Firma penyelidikan Phillip Research sebelum ini menyifatkan MN Holdings berada pada kedudukan yang kukuh sebagai penerima manfaat utama daripada perbelanjaan modal yang dibenarkan TNB sebanyak RM42.8 bilion dari tahun ini hingga 2027, dengan projek TNB kini merangkumi 40% daripada keseluruhan buku pesanan MN.

 

Kejayaan memenangi kontrak  projek kejuruteraan pencawang terbaharu daripada TNB menyaksikan MN Holdings Berhad terus kekal sebagai proksi pilihan bagi infrastruktur tenaga di Malaysia serta pendedahan strategik dalam sektor pusat data dan tenaga solar.

 

Terdahulu, kumpulan itu menerusi MN Power Transmission Sdn Bhd dianugerahkan kontrak bernilai RM29.3 juta oleh TNB bagi kerja-kerja sambungan dua transformer 132 kV baharu di pencawang utama sedia ada bagi Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat di Johor.

 

Firma penyelidikan tersebut menjangkakan momentum penambahan kontrak bagi MN kekal kukuh, disokong saluran tender bernilai RM1.9 bilion merentasi pelbagai sektor, termasuk pusat data (45%), TNB (36%), solar (8%), serta air dan pembetungan (2%).  - DagangNews.com