KUALA LUMPUR 22 Ogos – MMM Group Bhd akan mengambil alih syarikat pengiklanan luar, EDSB Outdoor Sdn Bhd dengan nilai keseluruhan RM16 juta, sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula yang dicadangkan di bawah status Nota Amalan 17 (PN17).
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, MMM berkata ia telah menandatangani Perjanjian Utama (HOA) dengan pemilik EDSB, iaitu Chong Yoke Lai dan Gan Soon Choon, yang masing-masing memiliki 70 peratus dan 30 peratus kepentingan dalam syarikat tersebut.
Menurut MMM, bayaran pengambilalihan akan melibatkan RM14 juta secara tunai dan RM2 juta lagi dalam bentuk terbitan saham baharu syarikat.
Yoke Lai dan Soon Choon juga telah memberi jaminan keuntungan sebanyak RM2 juta setahun untuk tiga tahun kewangan berturut-turut, bermula dari tahun kewangan di mana perjanjian muktamad jual beli saham dimeterai.
MMM menjelaskan bahawa pengambilalihan ini tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk kelulusan lembaga pengarah, proses ketekunan wajar, persetujuan terhadap penilaian oleh penilai bebas, serta kelulusan pemegang saham dan pihak berkuasa yang berkaitan sebagai sebahagian daripada pelan penyusunan semula yang dicadangkan.
“Pelaksanaan HOA ini tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan, aset bersih dan nisbah keberhutangan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
“Namun begitu, syarikat menjangkakan sumbangan positif terhadap pendapatan masa depan sekiranya pengambilalihan ini dimuktamadkan dan dilaksanakan dengan jayanya,” kata MMM.
MMM turut memaklumkan bahawa Yoke Lai dan Soon Choon akan kekal sebagai pengarah EDSB selepas pengambilalihan selesai, dan akan terus menjalankan peranan mereka dalam mengurus operasi harian syarikat tersebut.
HOA ini akan berkuat kuasa selama enam bulan bermula 21 Ogos, atau sehingga perjanjian jual beli saham muktamad ditandatangani, melainkan ia dilanjutkan atau ditamatkan secara bersama. - DagangNews.com








