KUALA LUMPUR 23 Mei — Mesiniaga Berhad memperoleh kontrak bernilai RM251.89 juta untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan kerja-kerja sokongan infrastruktur sistem perakaunan Jabatan Akauntan Negara.
Kumpulan perkhidmatan teknologi maklumat itu berkata, ia diterima daripada Kementerian Kewangan, yang mewakili kerajaan, melibatkan Sistem Perakaunan Pengurusan Kewangan Kerajaan Bersepadu di jabatan tersebut.
Katanya, tempoh pelaksanaan tender terbaharu berkenaan akan menjangkau hampir lima tahun, yang berkuat kuasa dengan serta-merta dan perlu disiapkan pada 30 April 2030.
"Tiada sebarang klausa untuk pembaharuan secara automatik dalam syarat kontrak kerja-kerja berkenaan," tambah Mesiniaga dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Ia merupakan kontrak pertama yang diumumkan oleh kumpulan tersebut pada tahun ini dengan kemenangan kali terakhir pernah diumumkan katanya, adalah dua tahun lalu.
Pada November 2023, ia memperoleh kontrak bernilai RM38 juta bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk sistem MYGST.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, Mesiniaga mengalami kerugian bersih sebanyak RM3.38 juta berbanding keuntungan bersih kira-kira RM3.9 juta setahun sebelumnya.
Kemerosotan pada tahun tersebut berikutan sumbangan hasil kumpulan tersebut yang menyusut 30.6 peratus kepada kira-kira RM180.39 juta daripada sebanyak RM259.8 juta pada FY23.
Keadaan berkenaan disebabkan oleh faktor kelewatan dalam keputusan untuk projek utama yang telah dibida oleh kumpulan itu serta pengurangan dalam skop projek sedia ada.
Mesiniaga tidak didagangkan di bursa semalam dengan kali terakhir diniagakan pada 19 Mei 2025, apabila ditutup RM1.45 sesaham, menilai permodalan syarikat kepada RM87.58 juta. - DagangNews.com








