KUALA LUMPUR 22 Mei — Mesiniaga Berhad dan i-City membangunkan Platform Bandar Pintar berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik yang dipercayai pertama seumpamanya di dunia.
Menurut kenyataan bersama, pembangunan moden itu disifatkan sebagai ‘otak’ kepada projek AI Living dengan pencahayaan, pengudaraan dan penggunaan tenaga diselaraskan mengikut kehadiran penghuni.
Kerjasama strategik itu bertujuan membangunkan platform penyelarasan pintar membolehkan pelbagai sistem seperti robotik, keselamatan, kesihatan, dan mobiliti dapat beroperasi secara bersepadu.
"Tidak seperti bangunan pintar konvensional bergantung pelbagai aplikasi, platform ini direka sebagai lapisan integrasi tunggal menyatukan keseluruhan ekosistem digital kediaman," jelasnya.
Antara keupayaan yang dirancang termasuk robot bergerak secara autonomi dalam bangunan melalui penyelarasan akses dan lif, sistem kesihatan yang mampu mengaktifkan respons kecemasan automatik.
Tambahnya, platform berkenaan dibina berasaskan kepada tiga komponen utama, antaranya UrbanOS Edge sebagai lapisan pemprosesan di lokasi, dan i-City SuperApp sebagai antara muka kepada pengguna.
Di samping itu ujarnya, Urban Intelligence Platform (Luma) pula akan bertindak sebagai enjin penyelarasan bagi membolehkan semua sistem mampu berkomunikasi secara langsung dalam masa nyata.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Mesiniaga, Chua Seng Teong berkata, projek tersebut menandakan peralihan penting daripada penggunaan teknologi pintar secara berasingan.
“AI Living merupakan langkah besar daripada teknologi pintar berdiri sendiri kepada ekosistem yang bersepadu membolehkan pelbagai sistem termasuk perkhidmatan bangunan berfungsi lancar," katanya.
Rumusan Dibangunkan Seiring Kemajuan Teknologi Terkini
Kata beliau, Mesiniaga akan menyumbang kepakaran dalam pembangunan platform integrasi 'Physical AI' dan AI Internet Benda (AIoT), serta pelaksanaan ekosistem teknologi baharu masa depan.
Usaha itu jelas Seng Teong, bagi memastikan rumusan yang dibangunkan boleh berkembang seiring kemajuan teknologi terkini serta meningkatkan keselamatan dan pengalaman hidup setiap penghuni.
Dalam pada itu, Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, pembangunan Platform Bandar Pintar menandakan perubahan asas dalam trend reka bentuk persekitaran kediaman yang lebih maju.
“Pada masa lalu, bangunan direka hanya berasaskan infrastruktur fizikal, namun pada masa hadapan, bangunan akan semakin direka dengan berdasarkan kepada isu kecerdasan penyelarasan," tambahnya.
Cabaran sebenar ujarnya, bukan lagi sama ada robotik, sistem kesihatan AI atau bangunan pintar boleh beroperasi secara berasingan, tetapi bagaimana semuanya itu boleh berfungsi harmoni bersama.
Kim Hong berkata, projek AI Living juga mencerminkan aspirasi lebih besar i-City mengubah konsep pembangunan hartanah daripada sekadar aset fizikal kepada persekitaran dipacu perisian dan AI.
Projek itu dijangka menjadi antara teknologi teras yang menyokong transformasi daripada bangunan pintar kepada persekitaran berasaskan AI sepenuhnya dengan sasaran siap menjelang 2030. - DagangNews.com








