Merungkai rahsia tersembunyi di Labuan Bajo, Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Merungkai rahsia tersembunyi di Labuan Bajo, Indonesia

PEMANDANGAN kapal-kapal persiaran mewah berlabuh dari puncak bukit di Pulau Kelor. Gambar: Naim Aziz / DagangNews
Oleh MOHD NAIM AZIZ

Apabila berbicara tentang destinasi ini, pasti ramai terkeliru kerana namanya mempunyai persamaan dengan sebuah wilayah di dalam negara.

 

Penulis tidak terkecuali. Kali pertama mendapat tugasan, ingatkan akan terbang ke Wilayah Persekutuan Labuan tetapi lokasi sebenar ialah sebuah bandar nelayan di hujung barat pulau besar Flores di wilayah Nusa Tenggara di timur Indonesia. 

 

Labuan Bajo adalah bandar utama bagi Kabupaten Manggarai Barat, satu daripada lapan kabupaten (daerah) yang juga bahagian pentadbiran utama Flores.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Dikelilingi pulau-pulau kecil, sudah tentu Labuan Bajo merupakan sebuah destinasi pelancongan yang menarik.

 

s6
AKTIVITI snorkeling terumbu karang dan hidupan laut di Pulau Sebayor. Gambar: Naim Aziz / DagangNews

 

AirAsia merupakan satu - satunya operator perkhidmatan penerbangan terus pergi dan balik yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Labuan Bajo.

 

Pesawat AirAsia jenis A320 berkapasiti 186 penumpang iaitu AK 310 berlepas dari Kuala Lumpur - Labuan Bajo pada jam 10.45 pagi manakala AK 311 untuk penerbangan balik dari Labuan Bajo - Kuala Lumpur jam 2.55 petang waktu tempatan.


 
Kekerapan jadual penerbangan tiga kali seminggu iaitu pada Selasa, Khamis dan Sabtu dengan harga tiket tertakluk pada musim dan waktu. Ini memberikan peluang untuk anda merancang destinasi percutian anda.

 

Penerbangan terus dari KLIA Terminal 2  ke Lapangan Antarabangsa Komodo (Bandar Udara Komodo) hanya mengambil masa perjalanan 3 jam 40 minit sahaja.

 

Penulis berpeluang pergi ke lokasi tersebut dengan jemputan ekslusif daripada AirAsia dengan kerjasama Badan Pelaksana Otorita Labuan Bajo Flores (BPOLBF) dan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur pada 8 Julai lalu.

 

BPOLBF merupakan jabatan di bawah Kementerian Pariwisata dan Ekonomi Kreatif (Kemenparekraf), Indonesia.

 

Program lawatan ini bertujuan memperkenalkan Labuan Bajo sebagai salah satu destinasi tumpuan pelancongan premium, menawarkan pengembaraan di lautan selain meningkatkan kesedaran tentang eko pelancongan di Labuan Bajo.

 

Kumpulan media yang dijemput untuk ke program ini juga dapat membantu memberikan penerangan kepada umum selain menghasilkan  kandungan bermanfaat khusus dalam media sosial bagi memberi daya tarikan tentang kepulauan ini.

 

Sepanjang lima hari pelbagai program disusun, antaranya penginapan di hotel bertaraf lima bintang Ayana Resort dan Hotel, pelayaran bermalam mengelilingi pulau-pulau  sekitar selama dua hari satu malam di kapal mewah Lamain Voyages, meninjau pemandangan di Pulau Kelor.

 

s9
RUANG dek atas kapal persiaran Lamain Voyages memberi peluang media merakamkan keindahan Waktu senja. Gambar: Naim Aziz / DagangNews

 

Turut diadakan aktiviti snorkeling terumbu karang di Pulau Sebayor, menyantuni penduduk majoriti Islam di Pulau Rinca, lawatan ke Taman Nasional Komodo dan meninjau pemandangan bandar Labuan Bajo di Para Puar.

 

Kumpulan media turut dibawa melawat Pusat Konvensyen Golo Mori dan menikmati hidangan tengahari di Plataran Hotel & Resort serta menjamu selera menu sihat di restoran Lamoringa.

 

Penulis berpeluang mendaki puncak bukit di Pulau Kelor bagi menikmati pemandangan kapal-kapal mewah yang berlabuh di kawasan tersebut sambil menikmati pemandangan lautan hijau biru sekitar pulau.

 

Ramai pengunjung yang terdiri dari pelancong luar tidak melepaskan peluang mendaki bukit sehingga ke puncak untuk merakamkan momen kenangan berlatar belakangkan  pemandangan indah pulau. Pendakian ini mengambil masa selama 20 minit dengan laluan berbatu keras dan curam.

 

s2
PELANCONG tidak ketinggalan medaki bukit untuk melihat panorama indah dan merakamkan gambar kenangan di puncak bukit Pulau Kelor. Gambar: Naim Aziz / DagangNews

 

s13
Pulau Padar antara lokasi tumpuan pelancong ke Labuan Bajo. Gambar: authentic-indonesia.com

 

Aktiviti snorkeling bersama 'baby shark' juga dapat dilakukan di Pulau Kelor memandangkan kawasan perairan di pulau ini cetek dan kurang berarus.

 

Ada dua buah pulau kami tidak berkesempatan untuk dikunjungi iaitu Pulau Kalong dan Pulau Padar berikutan arus ombak yang terlalu kuat dan laluan kapal ke arah tersebut terpaksa ditutup pihak berkuasa agar keselamatan pelancong terjamin.

 

Menurut anak kapal Lamain Voyages di Pulau Kalong anda boleh menikmati pemandangan ribuan pergerakan kelawar keluar sewaktu matahari terbenam manakala Pulau Padar pula menjanjikan pemandangan indah empat pantai berteluk itupun memerlukan pendakian sehingga ke tingkat lima puncak tinjau selain boleh juga singgah di pantai merah jambu (pink beach).

 

Dari hotel Ayana selepas sarapan kami menaiki kenderaan tajaan East Pearl dan Komodo Shuttle  menuju ke puncak tinjau Para Puar bagi melihat pemandangan bandar Labuan Bajo sebelum menuju ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Golo Mori.

 

s11
SENI bina bumbung yang menggunakan sepenuhnya buluh ke laluan Pusat Konvensyen Golo Mori, Labuan Bajo. Gambar : Naim Aziz / DagangNews

 

s8

 

Keunikan seni bina atap yang menggunakan buluh boleh dilihat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Golo Mori dengan pemandangan yang menghadap laut.

 

Ia merupakan Pusat Konvensyen Antarabangsa yang telah berlangsungnya acara ASEAN Summit and Related Meetings sewaktu Labuan Bajo dipilih mempengerusikan acara tersebut pada 9 – 11 Mei 2023.

 

Seni dan budaya Labuan Bajo tidak tertumpu hanya di Golo Mori malah penulis dibawa ke Plataran Hotel dan Resort untuk menikmati hidangan makanan tengahari dan semasa sesi lawatan tersebut pnulis mendapati  binaan tempat pnginapan percutian itu bercirikan warisan budaya Indonesia - menyerlahkan keindahan, sejarah dan tradisi kepulauan yang luar biasa ini.

 

Mengakhiri perjalanan di Labuan Bajo pada hari terakhir program, penulis sempat menjamu selera makanan kesihatan tajaan restoran Lamoringa. Menu makanan yang dihasilkan berasaskan tumbuhan kelor sambil menyaksikan demonstrasi penghasilan jus teh dari tumbuhan tersebut.

 

Pengalaman selama lima hari di bumi Indonesia memperlihatkan penulis tentang keindahan ciptaan alam semesta yang mengagumkan dan penjagaan kawasan eko pelancongan khusus bagi penyelidikan dan penerokaan ekosistem marin, serta konservasi hidupan liar.

 

Menikmati pemandangan indah di Labuan Bajo menjadikan antara destinasi pelancongan terbaik yang mempunyai rahsia tersembunyi dengan identiti kebudayaan tradisi penduduknya.

 

Penulis rasa terharu dengan layanan terbaik pihak penajaan AirAsia Malaysia, BPOLBF, Floratama IDN, KBRI Malaysia, East Pearl, Komodo Shuttle, Ayana Komodo Wae Cecu Beach, Plataran Komodo Resort and SPA, Lamain, dan Lamoringa.

 

Kami pulang ke tanah air dengan seribu kenangan dan memahami mengapa Labuan Bajo perlu ada dalam senarai destinasi pelancongan utama ke Indonesia!

 

s12
PESAWAT AirAsia yang baru mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo. AirAsia terbang tiga kali seminggu ke Labua Bajo. Gambar: Naim Aziz /  DagangNews

 

Bagi yang berkesempatan dan ingin merancang percutian atau meneroka pengembaraan pulau di Labuan Bajo boleh melayari capaian AirAsia MOVE App untuk tempahan tiket penerbangan dan hotel- hotel sekitar yang terpilih. 

 

 

 

 

 

 

 

AirAsia Malaysia kini mengendalikan penerbangan dari Kuala Lumpur ke 15 destinasi di seluruh Indonesia termasuk Jakarta, Bali (Denpasar), Medan, Yogyakarta, Banda Aceh, Makassar, Padang, Pekanbaru, Balikpapan, Lombok, Palembang dan Semarang (bermula 5 September 2025). - DagangNews.com