KUALA LUMPUR 22 Jan - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan Ketua Editor dan Pengarang Online China Press berhubung satu kandungan terbitan media tersebut yang dipercayai telah melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
MCMC dalam kenyataan memberitahu kandungan tersebut telah disiarkan melalui akaun rasmi China Press di platform media dalam talian.
Siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima terhadap kandungan berkenaan yang didakwa mengandungi maklumat palsu berkait Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen, khususnya berhubung kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang berpotensi menimbulkan kekeliruan awam.
"Penelitian awal mendapati kandungan tersebut membawa maksud berbeza daripada titah sebenar Yang di-Pertuan Agong, sekali gus boleh mencetuskan persepsi tidak tepat terhadap Institusi Diraja serta kepentingan nasional," kata kenyataan itu.
Beberapa peralatan dan bahan berkaitan turut disita untuk siasatan lanjut.
MCMC memandang serius sebarang penerbitan melibatkan Titah Yang diPertuan Agong dan perkara berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta mengingatkan semua organisasi media agar melaksanakan semakan fakta secara teliti dan mematuhi prinsip kewartawanan bertanggungjawab. - DagangNews.com








