MCMC rakam keterangan individu disyaki muat naik komen jelik melampau terhadap Institusi Diraja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC rakam keterangan individu disyaki muat naik komen jelik melampau terhadap Institusi Diraja

Oleh JOHARDY IBRAHIM

CYBERJAYA 21 Julai  - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap satu komen berunsur jelik melampau yang dimuat naik oleh seorang individu di platform media sosial
Facebook, melibatkan Institusi Diraja berkaitan isu pelantikan Ketua Hakim Negara.

 

Bagi membantu siasatan, MCMC telah merakam keterangan individu terbabit pada 21 Julai 2025 di Balai Polis Kg Melayu Subang, Selangor.

 

"Turut disita, satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM bagi membantu siasatan. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

 

"MCMC menyeru orang ramai agar sentiasa menggunakan platform media sosial secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab," kata suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini.

 

"Elakkan penyebaran kandungan jelik melampau, hasutan atau fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman negara, khususnya yang melibatkan Institusi Diraja," kata MCMC. - DagangNews.com