KUALA LUMPUR 24 Feb (Bernama) - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menghubungi TikTok untuk mendapatkan penjelasan mengenai 18 organisasi media tempatan yang disekat baru-baru ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, mengikut maklumat awal yang diterima daripada TikTok, akaun terbabit disekat kerana melaporkan kes cabul di sebuah masjid di Batang Kali baru-baru ini yang melibatkan seorang gadis.
“Masalahnya ialah kecerdasan buatan (AI) TikTok itu sendiri, ini sedikit amaran, AI kadang-kadang boleh pergi terlalu jauh dan tidak faham bahawa laporan organisasi media berbeza daripada kandungan yang dihasilkan oleh orang biasa.
“Jadi saya minta satu perbincangan diadakan dalam masa terdekat untuk memperhalusi fungsi akaun TikTok yang dimiliki media supaya tindakan sebegitu tidak diambil pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan kursus ‘AI dalam Bilik Berita’ anjuran Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama), kursus pertama dalam siri program latihan berkaitan AI untuk profesional media. - DagangNews.com








