KUALA LUMPUR 27 Feb – Prospek pendapatan yang lebih kukuh mendorong MBSB Research menaikkan unjuran kewangan bagi Axiata Group Berhad untuk tahun kewangan 2026 (FY26) dan 2027 (FY27), meskipun harga sasaran sahamnya disemak sedikit lebih rendah susulan pelarasan penilaian anak syarikat utama.
Firma penyelidikan itu meningkatkan anggaran pendapatan FY26 kepada RM542.1 juta, iaitu kenaikan 24.8%, manakala unjuran FY27 dinaikkan kepada RM749.7 juta, melonjak 43.6% berbanding anggaran terdahulu.
"Bagaimanapun, anggaran tersebut masih dilihat konservatif berbanding jangkaan konsensus pasaran yang meletakkan pendapatan FY26 dan FY27 masing-masing pada RM689.2 juta dan RM940.2 juta.
“Walaupun semakan naik dibuat, unjuran kami kekal berhati-hati dan masih di bawah konsensus,” menurut nota penyelidikan itu.
Harga sasaran disemak turun
Susulan pelarasan pendapatan, harga sasaran (TP) berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP) disemak sedikit lebih rendah kepada RM2.21 berbanding RM2.29 sebelum ini.
Semakan itu didorong terutamanya oleh penurunan penilaian terhadap CelcomDigi Berhad, yang menjadi antara penyumbang utama nilai kepada kumpulan.
Dividen dijangka lebih progresif
Dari segi pulangan kepada pemegang saham, kumpulan mengumumkan dividen suku keempat FY25 sebanyak 5 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen penuh tahun FY25 kepada 10 sen sesaham.
Di bawah pelan transformasi Axiata28, pengurusan menyasarkan pertumbuhan dividen secara progresif sejajar dengan penambahbaikan prestasi kewangan dan penjanaan aliran tunai.
Namun begitu, MBSB mengekalkan unjuran dividen masa depan pada kadar 10 sen sesaham buat masa ini, mengambil pendekatan konservatif sementara menilai kemampanan aliran tunai serta komitmen pelaburan kumpulan.
Sementara itu CGS International (CGSI) mengulangi saranan TAMBAH dengan TP berasaskan nilai aset bersih boleh direalisasi (RNAV) tidak berubah pada RM3.22 sesaham.
Menurut firma itu inisiatif pengkomersialan aset infrastruktur akan menjadi pemangkin utama untuk merapatkan jurang diskaun, kira-kira 39% kepada RNAV,
Selain itu, hasil dividen yang diunjurkan sekitar 4.5% bagi FY26F turut dilihat menyokong daya tarikan penilaian semasa, khususnya dalam persekitaran kadar faedah yang masih tidak menentu.
Bagaimanapun, CGSI mengingatkan beberapa risiko penurunan yang boleh menjejaskan unjuran pelaburan terhadap Axiata.
Antara risiko utama ialah kegagalan kumpulan meraih hasil daripada aset dan memulangkan nilai kepada pemegang saham seperti yang dirancang, yang boleh mengekalkan diskaun besar kepada RNAV.
Selain itu, risiko geopolitik di pasaran operasi utama juga berpotensi menjejaskan operasi dan keuntungan, memandangkan Axiata mempunyai pendedahan kepada beberapa negara membangun yang terdedah kepada ketidaktentuan politik dan ekonomi.
Perubahan dalam persekitaran regulatori di pasaran utama turut dikenal pasti sebagai risiko penting, terutamanya melibatkan dasar spektrum, cukai dan kawal selia telekomunikasi yang boleh memberi kesan kepada margin serta pelaburan masa depan. - DagangNews.com








