Maybank Investment Bank: KLCI berhati-hati menjelang Sidang Kemuncak APEC Jumaat Ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank Investment Bank: KLCI berhati-hati menjelang Sidang Kemuncak APEC Jumaat Ini

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 30 Okt - Maybank Investment Bank Berhad dalam laporan terbaharunya Technical Malaysia hari ini menyatakan prestasi bercampur di Bursa Malaysia apabila pelabur kekal berhati-hati menjelang Sidang Kemuncak APEC yang bakal berlangsung Jumaat ini.

 

Indeks penanda aras FBM KLCI ditutup sedikit rendah, susut 2.02 mata atau 0.13% untuk berakhir pada paras 1,611.54 mata pada 29 Oktober.

 

Penganalisis teknikal Maybank IB berkata pelabur kekal berwaspada menjelang Sidang Kemuncak APEC yang bakal menjadi tumpuan global pada minggu ini.

 

"Pasaran dijangka memberi perhatian khusus terhadap pertemuan penting antara Amerika Syarikat dan China, yang mungkin mempengaruhi hala tuju dasar perdagangan dan ekonomi menjelang tahun 2026," kata Maybank IB.

 

Sektor Produk Industri kekal menunjukkan kekuatan relatif dengan aktiviti pembentukan asas dan pengumpulan terpilih, dengan Southern Cable Group Bhd muncul antara kaunter paling menonjol dalam segmen tersebut.

 

Secara keseluruhan, Maybank Investment Bank mengekalkan pendirian neutral dan berhati-hati terhadap hala tuju pasaran dalam tempoh terdekat, sambil menyarankan pengumpulan terpilih ke atas kaunter yang menunjukkan kekuatan teknikal di tengah-tengah ketidaktentuan makroekonomi global.

 

Sentimen pasaran terjejas oleh prestasi lemah kaunter telekomunikasi utama termasuk CelcomDigi (CDB) dan Maxis, di samping tekanan daripada Sime Darby Group (SDG) dan Public Bank (PBBANK). Secara keseluruhan, penurunan mengatasi kenaikan dengan 547 kaunter rugi berbanding 442 kaunter untung.

 

Dari sudut teknikal, Maybank IB menjangkakan KLCI akan bergerak dalam julat antara 1,600 hingga 1,620 mata, dengan paras sokongan utama pada 1,550 dan 1,500 mata. F

 

irma penyelidikan itu menambah, penanda aras tersebut kini sedang menguji garis aliran menaik (uptrend line), menunjukkan potensi fasa penyatuan sebelum hala tuju pasaran yang lebih jelas terbentuk.

 

Saranan Dagangan Teknikal

Dalam Traders’ Almanac hari ini, Maybank IB menyenaraikan beberapa idea dagangan jangka pendek seperti berikut:

  • Southern Cable Group Bhd (SCGBHD – 0225)Accumulate (Technical)

    • Harga Semasa: RM2.12

    • Henti Rugi (SL): RM1.86

    • Rintangan 1 (R1): RM2.28

    • Rintangan 2 (R2): RM2.52

    • Ulasan: Kaunter ini menunjukkan ketahanan yang kukuh dan meneruskan momentum kenaikan, menjadi antara prestasi terbaik dalam segmen Produk Industri.

  • Notion Vtec Bhd (NOTION)Beli

    • SL: RM0.610

    • R1: RM0.745

    • R2: RM0.830

  • Salutica Bhd (SALUTE)Beli

    • SL: RM0.205

    • R1: RM0.255

    • R2: RM0.280

 

Sementara itu, laporan berkenaan turut mengesan pembalikan menurun (bearish reversal) dalam harga minyak sawit mentah (CPO), menandakan risiko penyusutan dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com