KUALA LUMPUR 11 Nov – Pelaksanaan kekal menjadi kunci kepada hala tuju pertumbuhan PIE Industrial Bhd, walaupun taklimat terbaharu syarikat itu memberikan sedikit keyakinan bahawa pendapatan jangka pendek dijangka stabil sementara kumpulan berusaha membuka peluang pertumbuhan baharu, menurut Maybank IB.
Sehubungan itu bank pelaburan itu mengekalkan penilaian HOLD dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM2.91, kepada saham syarikat pembuatan berasaskan elektronik itu .
"Penilaian itu berdasarkan 17 kali unjuran nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY2026E, iaitu 0.5 sisihan piawai di bawah purata hadapan lima tahun," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Maybank IB, hasil daripada sesi taklimat baru-baru ini, pandangan terhadap prospek jangka pendek kekal neutral, dengan pengurusan menjelaskan bahawa kelemahan pendapatan baru-baru ini berpunca daripada pelanggan utama dalam segmen superkomputer yang mengalihkan pengeluaran keluar dari Asia Tenggara bagi mengelak isu tarif dan kastam.
Bagaimanapun, pihak pengurusan kekal optimis, menjangkakan jumlah pesanan akan kembali normal seperti pada awal tahun 2025 sebaik sahaja isu kastam di Amerika Syarikat diselesaikan.
Pelanggan utama daripada segmen lain dijangka kekal stabil, dengan pengurusan memberi panduan bahawa prestasi suku keempat (4QFY25) berpotensi menunjukkan sedikit peningkatan suku ke suku (QoQ) atau sekurang-kurangnya kekal mendatar dalam senario terburuk.
Menurut Maybank IB, dalam taklimat tersebut, pengurusan turut mendedahkan PIE sedang berbincang dengan sekurang-kurangnya tiga bakal pelanggan baharu, kebanyakannya berasaskan China dan terlibat dalam segmen pelayan (server), suis (switches) serta peranti perubatan.
Syarikat merancang untuk memanfaatkan baki kapasiti pengeluaran termasuk fasiliti yang disewa bagi memenuhi potensi projek baharu ini, dengan setiap prospek berpotensi menjadi pelanggan terbesar kumpulan sekiranya proses onboarding berjaya.
Pada masa ini, pelanggan terbesar PIE menyumbang sekitar 29% daripada jumlah hasil kumpulan.
Pelaksanaan kekal cabaran utama
Menurut Maybank IB, walaupun barisan pelanggan baharu dilihat positif dan berpotensi meningkatkan kadar penggunaan kapasiti, aspek pelaksanaan dan garis masa onboarding kekal menjadi risiko utama.
Oleh itu Maybank IB juga mengekalkan unjuran pendapatan sedia ada selepas penurunan dibuat dalam laporan bertarikh 10 November 2025.
"Antara risiko utama termasuk kemungkinan kelewatan berpanjangan dalam onboarding pelanggan baharu, permintaan yang tidak menentu, kehilangan pesanan, leverage operasi yang lemah serta kekurangan tenaga kerja yang berterusan," katanya. - DagangNews.com








