Maxis catat untung bersih RM371 juta, hasil naik kepada RM2.61 bilion pada Q1 disokong jualan peranti lebih tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maxis catat untung bersih RM371 juta, hasil naik kepada RM2.61 bilion pada Q1 disokong jualan peranti lebih tinggi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Mei — Maxis Berhad melaporkan peningkatan sebanyak 5.1 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM371 juta bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2025.


Syarikat telekomunikasi itu berkata, prestasi tersebut disebabkan kos kewangan yang lebih rendah berbanding keuntungan bersih sebanyak RM353 juta pada suku yang sama pada 2024.


Hasilnya turut naik 0.2 peratus kepada RM2.61 bilion berbanding RM2.6 bilion sebelumnya, dengan disokong faktor jualan peranti lebih tinggi yang didorong oleh peningkatan permintaan.


Hasil perkhidmatan Maxis susut 0.9 peratus kepada RM2.17 bilion, dipengaruhi struktur komersial disemak semula bagi program SafeDevice dan kadar rendah sambungan dikawal selia.


Sehubungan itu, syarikat berkenaan mengumumkan pembayaran dividen interim sebanyak empat sen sesaham untuk suku tersebut.


Maxis berkata ia kekal komited terus meningkatkan nilai pelanggan dengan memacu inovasi perkhidmatan dan mengekalkan rangkaiannya yang sangat dipercayai.


"Kami juga komited mengoptimumkan kecekapan operasi serta memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan selain mengenal pasti lima bidang tumpuan utama untuk 2025," katanya.


Ini termasuk penggabungan dan jualan silang untuk mengukuhkan asas para penggunanya, serta mengembangkan perniagaan perusahaannya sambil kekal sejajar dengan tawaran teras.


Di samping itu, syarikat itu tersebut akan mengutamakan pembangunan infrastruktur dan pemborongan, pendigitalan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), serta kecemerlangan operasi.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Goh Seow Eng berkata, Maxis menjangka pemulihan hasil perkhidmatan dengan pertumbuhan satu digit yang rendah, bersama-sama pertumbuhan rata hingga sederhana dalam pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan menjelang akhir 2025.


Ini disokong oleh perbelanjaan modal secara berdisiplin di bawah RM1 bilion, terarah secara strategik ke arah bidang utama yang menyokong pertumbuhan jangka panjang dan nilai pelanggan lebih baik.


"Kami secara aktif membina daya tahan yang lebih besar dalam pasaran dinamik dengan mengukuhkan operasi teras kami dan memacu transformasi digital," tambah beliau. - DagangNews.com