KUALA LUMPUR 15 Ogos – Maxis Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Maxis Broadband Sdn Bhd, telah menyediakan pendahuluan pemegang saham tambahan berjumlah RM116,666,667 kepada Digital Nasional Berhad (DNB).
Pendahuluan yang dibuat pada 15 Ogos 2025 itu membawa hak yang sama seperti pegangan saham biasa dalam DNB, iaitu setiap ringgit layak mendapat satu undi.
Maxis Broadband kini memegang 133,333 saham dalam DNB, kata syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Menurut syarikat itu, pendahuluan pemegang saham tambahan tersebut bertujuan menyokong pelaksanaan berterusan rangkaian 5G negara dan membantu menguruskan kewangan DNB.
Susunan pembiayaan ini adalah selaras dengan “Nisbah Dipersetujui” dalam kalangan pemegang saham, melibatkan modal saham semasa, pendahuluan pemegang saham sedia ada, pendahuluan tambahan baharu dan baki pinjaman Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.).
Berdasarkan struktur pembiayaan terkini, MoF Inc. kekal sebagai penyumbang terbesar dengan modal saham dikeluarkan sebanyak RM500.1 juta serta pendahuluan tambahan RM250.2 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan kepada DNB mencecah RM750.3 juta atau 41.67% daripada keseluruhan pembiayaan, selain baki pinjaman berjumlah RM199.8 juta.
Tiga lagi syarikat telekomunikasi utama – CelcomDigi, Maxis Broadband dan YTL – masing-masing memegang modal saham sebanyak RM0.13 juta, di samping pendahuluan pemegang saham sedia ada sebanyak RM233.2 juta dan pendahuluan tambahan RM116.7 juta.
Sumbangan setiap syarikat ini berjumlah RM350 juta, bersamaan 19.44% daripada jumlah pembiayaan DNB.
DNB, sebuah entiti tujuan khas milik kerajaan yang ditubuhkan pada 2021, bertanggungjawab membangunkan, memiliki dan mengendalikan infrastruktur rangkaian 5G Malaysia secara borong kepada semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Maxis merupakan antara syarikat telekomunikasi utama yang bekerjasama rapat dengan DNB bagi mempercepatkan liputan dan penggunaan teknologi 5G di seluruh negara, selaras dengan aspirasi digital negara. - DagangNews.com








