KUALA LUMPUR 20 Mei — Swift Haulage Berhad diunjur mencatat prestasi kukuh tahun ini disokong oleh peningkatan margin bagi segmen pengangkutan setelah berlaku penyusutan pada FY24, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun pengangkutan darat mungkin menjana kurang hasil ekoran peralihan kepada corak perjalanan jarak pendek tetaoi masih boleh diimbangi segmen-segmen lain.
Katanya, keuntungan kumpulan itu banyak disumbangkan segmen pergudangan yang stabil daripada kapasiti tambahan dan penggunaan tinggi, serta segmen penghantaran barang lebih kukuh.
"Margin segmen pengangkutan dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2025 tetapi jumlah pengangkutan kontena turun sebanyak 2.9 peratus tahun ke tahun (y-o-y)," katanya dalam satu nota kajian.
MIDF Research berkata, kemerosotan itu sejajar dengan penurunan sebanyak 3.7 peratus y-o-y yang dialami sendiri di kebanyakan pelabuhan utama Semenanjung Malaysia sepanjang suku pertama 2025.
Kelemahan paling ketara kata firma tersebut, dicatatkan di wilayah Pantai Timur yang disebabkan oleh penutupan banyak operasi utama lebih tinggi daripada pelanggan dengan tidak dirancang.
Bagaimanapun tambahnya, sebahagian besar segmen lain mengekalkan hasil namun Swift Haulage dijangka berdepan pula dengan peraturan beban gandar baharu yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.
"Pengendali pengangkutan akan dihadkan untuk membawa hanya satu kontena berukuran 20 kaki setiap perjalanan dan bukan lagi dua yang mungkin boleh menjejaskan produktiviti," kata MIDF Research.
Sebaliknya, Swift Haulage melihat langkah itu sebagai peluang margin, dengan beban lebih ringan mengurangkan kos operasi dan kemungkinan membolehkan kadar tinggi bagi setiap kontena diangkut.
Perjalanan pengangkutan darat kumpulan itu katanya, meningkat dua digit berbanding 1Q24 dengan peralihan kepada trak yang bersaiz lebih kecil melalui aktiviti jualan silang pergudangan.
Pekerjaan jarak dekat namun kata firma penyelidikan itu, mungkin menawarkan kadar yang lebih rendah dan margin tipis disebabkan oleh faktor sifat buruh dan perjalanan secara intensif.
MIDF Research tidak membuat perubahan pada anggaran pendapatan Swift Haulage dan mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran sesaham masih lagi tidak berubah sebanyak 43 sen. - DagangNews.com








