Mampukah tembok laut gergasi selamatkan pantai Indonesia yang kian menghilang? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mampukah tembok laut gergasi selamatkan pantai Indonesia yang kian menghilang?

Pemandangan udara rumah-rumah terbengkalai dan sebagian terendam, hilang akibat naiknya air pasang karena perubahan iklim, di Desa Semonet, Pekalongan, Jawa Tengah. - Gambar BAY ISMOYO / AFP
Oleh Jack MOORE

PEKALONGAN, Indonesia 28 Ogos (AFP) – Ombak laut yang semakin menghampiri menelan jalan di kampung Karminah, mengancam rumahnya di Pulau Jawa, Indonesia, di mana kerajaan kini merangka pelan untuk menahan arus pasang.

 

Kerajaan bercadang membina tembok laut sepanjang 700 kilometer bernilai AS$80 bilion di pesisir Jawa bagi menangani kehilangan tanah akibat kenaikan paras laut serta penurunan tanah yang berpunca daripada pengekstrakan air bawah tanah.

 

Bagi penduduk yang telah menyaksikan ombak mara lebih satu kilometer ke daratan di beberapa kawasan Jawa, cadangan itu kedengaran seperti penyelamat.

 

Namun, dengan tempoh pelaksanaan yang mengambil masa puluhan tahun dan pembiayaan yang belum pasti, ia dilihat sukar untuk disiapkan tepat pada waktunya. Malah pakar iklim memberi amaran bahawa projek itu boleh memburukkan keadaan dengan menolak hakisan ke kawasan lain serta menjejaskan ekosistem.

 

Bagi Karminah, 50, kebimbangan tersebut dirasakan jauh daripada realiti.

 

“Yang penting jangan banjir di sini. Supaya selesa,” katanya kepada AFP di Kampung Bedono, merujuk kepada jalan pesisir pantai yang hampir setiap hari tenggelam.

 

“Sekolah tak boleh dijalankan, anak-anak tak boleh bermain, mereka hanya duduk di tepi jalan memandang air.”

 

Kerajaan menyifatkan tembok laut kolosal itu sebagai salah satu inisiatif “paling penting” untuk membantu komuniti pesisir di Jawa, yang menempatkan lebih separuh daripada 280 juta penduduk Indonesia, termasuk ibu kota Jakarta yang semakin tenggelam.

 

Penduduk Bedono seperti ketua kampung Muhammad Syarif kini meninggikan rumah mereka dengan tanah liat, tetapi menyatakan tembok laut “amat diperlukan” bagi mengelak bencana.

 

“Ia adalah penyelesaian yang tepat kerana garis pantai perlukan pengurusan ombak,” katanya.

 

Pembiayaan masih samar, walaupun Presiden Prabowo Subianto telah menggesa pelaburan dari Asia dan Timur Tengah. Minggu ini, beliau merasmikan sebuah agensi baharu bagi menyelia projek itu.

 

“Saya tak tahu presiden mana yang akan menyiapkannya, tetapi kita akan mulakan,” kata Prabowo pada Jun lalu.

 

 

Indonesia
Pemandangan udara rumah-rumah yang sebagian terendam akibat kehilangan daratan karena perubahan iklim, di Desa Bedono, Demak, Jawa Tengah. - Gambar AFP

 


Kampung Yang Ditinggalkan

Tembok laut dan benteng pesisir telah digunakan di seluruh dunia untuk menahan air pasang yang merosakkan.

 

Di Jepun, halangan seakan kubu dibina di beberapa kawasan selepas gempa bumi dan tsunami 2011, manakala Belanda bergantung pada sistem benteng bukit untuk kekal kering.

 

Benteng ini menyerap serta mengalihkan tenaga ombak, melindungi infrastruktur dan penduduk pesisir.

 

Namun, keperluan Indonesia adalah mendesak, dengan antara 1 hingga 20 sentimeter tanah hilang setiap tahun di sepanjang pesisir utara Jawa. Kawasan besar dijangka lenyap menjelang 2100 mengikut trajektori perubahan iklim semasa, menurut badan bukan keuntungan iklim Climate Central.

 

Namun, benteng tersebut juga boleh membawa kesan negatif – memusnahkan pantai, menolak hakisan ke arah laut, serta mengganggu ekosistem dan komuniti nelayan.

 

Di Puerto Rico dan New Caledonia, tembok laut telah runtuh akibat hentaman ombak yang berterusan, yang turut menghakis pasir di bawahnya.

 

“Ia datang dengan kos alam sekitar dan sosial yang besar,” kata Melanie Bishop, profesor di Universiti Macquarie, Australia.

 

“Pembinaan mereka menyebabkan kehilangan habitat persisiran pantai dan menghalang pergerakan haiwan serta manusia antara darat dan laut,” jelas pakar ekologi pesisir itu.

 

Laporan PBB pada 2022 turut memberi amaran bahawa tembok laut hanya memberi penyelesaian sementara malah boleh memburukkan kesan perubahan iklim.

 

Bagi penternak ketam, Rasjoyo, hakisan pesisir bukanlah masalah teori.

 

Dia bersama ratusan penduduk lain dahulu tinggal di Kampung Semonet yang kini ditinggalkan, di mana air laut memasuki rumah-rumah kosong. Kini ia terletak 20 minit perjalanan bot dari darat.

 

“Banjir semakin teruk. Rumah semakin tenggelam. Setiap bulan, perubahannya amat drastik,” kata lelaki berusia 38 tahun itu kepada AFP.

 

Katanya, tembok laut yang mula dicadangkan sejak 1995 akan datang terlalu lewat.

 

“Kalau jadi, bila ia akan sampai ke sini? Tahun bila?” katanya.

 

“Ia mungkin juga tidak begitu berkesan kerana tanah sudah pun mendap.”

 

‘Cari Penyelesaian’

Sesetengah pakar iklim percaya penyelesaian berasaskan alam semula jadi seperti hutan bakau dan terumbu karang adalah alternatif yang lebih baik.

 

“Tidak seperti tembok laut yang perlu ditingkatkan apabila paras laut naik, habitat ini boleh bertambah secara menegak,” kata Bishop.

 

“Dalam beberapa keadaan, pertumbuhan menegak ini boleh mengimbangi kenaikan paras laut.”

 

Alternatif lain ialah gabungan penempatan semula dan tembok laut berskala kecil, kata Heri Andreas, pakar penurunan tanah di Institut Teknologi Bandung.

 

“Penyelesaian menang-menang ialah tembok laut separa atau bersegmen,” katanya, menyifatkan cadangan semasa seperti “menembak itik dengan bazooka”.

 

“Ia lebih berkesan jika kita lakukan penempatan semula. Dan di beberapa kawasan, mungkin hanya benteng pesisir atau menaikkan infrastruktur pesisir sudah mencukupi.”

 

Beliau berharap dapat meyakinkan pentadbiran Prabowo supaya menukar haluan sebelum mega-projek itu bermula.

 

“Kita perlukan lebih banyak mendengar,” katanya. “Sedikit lebih baik daripada sebelumnya, tetapi masih belum mencukupi.”

 

Di Bedono, di mana sebuah tanah perkuburan baru-baru ini dipindahkan bagi menyelamatkannya daripada ditelan ombak, penduduk hanya mahu penyelesaian segera.

 

“Penyelesaiannya ialah bina sesuatu, saya tak tahu, bina jalan, benteng atau jalur pesisir supaya ia tidak terus berlaku,” kata Karminah.

 

“Apa lagi yang boleh kita buat?” tambahnya. “Tolong bantu saya cari penyelesaian supaya air tidak naik.”

© Agence France-Presse