KUALA LUMPUR 6 Okt - Malaysia secara rasmi mewartakan Peraturan Cukai Pendapatan (Skim Insentif Pejabat Keluarga Tunggal) (Pulau 1 Zon Kewangan Khas Forest City) 2025, sekali gus mengukuhkan hasrat negara untuk menjadi hab utama pengurusan kekayaan keluarga di peringkat global.
Warta berkenaan, bertarikh 3 Oktober 2025, menandakan pelaksanaan penuh Skim Pejabat Keluarga Tunggal atau Single Family Office (SFO) yang diperkenalkan pada September 2024.
Langkah ini mencerminkan komitmen kukuh kerajaan dalam memperkukuh ekosistem pejabat keluarga dan pemilik aset di Malaysia, di samping memberikan kepastian dasar jangka panjang kepada keluarga serta penasihat mereka dalam membuat keputusan penstrukturan kekayaan.
Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), skim berkenaan menerima sambutan yang amat menggalakkan sejak dilancarkan, dengan enam keluarga telah diberikan Kelulusan Bersyarat melibatkan anggaran jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) hampir RM400 juta, melebihi jangkaan awal.
Setakat ini, SC telah menerima lebih 30 Pernyataan Minat (Expressions of Interest) daripada keluarga tempatan dan antarabangsa. SC menyasarkan AUM sebanyak RM2 bilion menjelang akhir 2026, dengan pejabat keluarga menubuhkan operasi mereka di Forest City, Johor.
“Momentum awal ini menunjukkan minat yang tinggi daripada keluarga Malaysia yang ingin membawa pulang kekayaan mereka, serta keluarga antarabangsa yang melihat Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN,” kata SC dalam satu kenyataan.
Insentif Cukai Sehingga 20 Tahun
Pewartaan ini turut memformalkan rangka kerja insentif cukai pertama negara khusus untuk SFO, menawarkan tempoh insentif selama 20 tahun (10 + 10 tahun) yang merangkumi pengecualian cukai pendapatan, keuntungan modal, pendapatan bersumber asing, duti setem serta pendapatan dividen — menjadikan Malaysia antara rejim pejabat keluarga paling komprehensif di rantau ini.
Di bawah skim tersebut, keluarga perlu melalui dua peringkat pensijilan iaitu kelulusan bersyarat awal melalui rundingan wajib dengan SC, diikuti pensijilan cukai tahunan bagi memastikan pematuhan berterusan.

Membangun Ekosistem Yang Menyeluruh
Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi, berkata peraturan baharu ini merupakan langkah penting dalam membangunkan ekosistem pengurusan pejabat keluarga yang mantap dan telus di Malaysia.
“Kerajaan, dengan sokongan SC, telah menubuhkan satu skim insentif komprehensif untuk memperkukuh ekosistem pejabat keluarga di Malaysia,” katanya.
Beliau menambah, sebuah pusat sehenti turut diwujudkan bagi menyelaras perkhidmatan dan urusan berkaitan, bagi memudahkan keluarga serta penasihat kewangan mereka.
“Model penyelarasan perkhidmatan sehenti ini memberikan kejelasan dan menghapuskan kerumitan, menjadikan Malaysia destinasi menarik bagi keluarga berpendapatan tinggi dan pelabur antarabangsa,” jelasnya.
Daya Tarikan Global Semakin Kukuh
Usaha promosi antarabangsa SC termasuk lawatan terkini ke Taiwan dan Oman telah menarik minat kukuh daripada penasihat keluarga, pengurus bank peribadi dan pemegang amanah.
Model pejabat keluarga Malaysia yang menggabungkan daya saing, tadbir urus kukuh, kecekapan kos serta kualiti hidup yang tinggi turut menerima sambutan positif daripada pengurus kekayaan antarabangsa.
Ciri baharu skim ini turut merangkumi saluran visa khas untuk keluarga dan profesional pelaburan, yang kini menjadi tarikan penting bagi keluarga luar negara yang ingin menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi mereka.
Sokong Pembangunan Nasional
Rangka kerja SFO juga menekankan elemen pembinaan negara dengan mewajibkan setiap pejabat beroperasi di Zon Kewangan Khas Forest City, menggaji tenaga kerja tempatan serta melabur dalam pasaran modal Malaysia.
Pelaburan dalam Sektor Dipromosikan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), inisiatif kemampanan, pembiayaan ekuiti awam (equity crowdfunding) dan inisiatif berasaskan wakaf, turut menikmati pengganda 1.5 kali untuk AUM.
“Langkah ini memastikan kekayaan keluarga menyumbang secara langsung kepada inovasi, syarikat pemula, industri berteknologi tinggi serta kewangan mampan,” jelas SC.
Malaysia Sedia Jadi Hab Pejabat Keluarga Asia
Dengan penggazetan peraturan ini, Skim SFO kini beroperasi sepenuhnya, meletakkan Malaysia di landasan kukuh untuk menjadi pangkalan dipercayai bagi pejabat keluarga di Asia.
SC turut merancang memperluas Sidang Kemuncak Pejabat Keluarga (Family Office Summit) tahunannya, menerbitkan panduan terperinci untuk pelabur serta mempergiat promosi antarabangsa bagi menarik lebih banyak penyertaan keluarga berprofil tinggi ke Malaysia. - DagangNews.com








