KUALA LUMPUR 15 Julai – Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA) dengan kerjasama agensinya, Perbadanan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), telah berjaya menganjurkan Persidangan Pasaran Latihan ASEAN (ATMC) 2025 di Kuala Lumpur minggu ini.
Persidangan ini memperkukuh komitmen bersama ASEAN dalam memperlengkap tenaga kerja rantau ini dengan kemahiran masa depan di tengah-tengah perubahan ekonomi yang pesat.
Bertempat di Hotel Berjaya Times Square, ATMC menghimpunkan lebih 600 peserta termasuk penyedia latihan kebangsaan dan serantau, majikan, penggubal dasar serta wakil pertubuhan perniagaan dari seluruh ASEAN.
Persidangan ini merupakan satu daripada tujuh inisiatif utama di bawah ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025 yang dianjurkan sempena Pengerusi ASEAN 2025 yang kini dipegang oleh Malaysia.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad yang merasmikan persidangan tersebut menegaskan bahawa pengukuhan ekosistem penyedia latihan dan tenaga pengajar adalah penting bagi menjamin daya saing ASEAN pada masa hadapan.
“Seluruh ASEAN sedang menyaksikan impak besar daripada automasi, kecerdasan buatan, ekonomi digital dan peralihan hijau. Kuasa-kuasa ini sedang mengubah landskap industri, menggantikan peranan tradisional dan mentakrif semula kemahiran yang diperlukan untuk maju.”
“Untuk mentransformasikan ekonomi, kita perlu mengubah cara kita melatih rakyat kita. Malaysia berbangga mengetuai agenda ini selaku Pengerusi ASEAN, demi memastikan sistem latihan kita kekal relevan dengan industri, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Bertemakan “Empowering ASEAN’s Training Supply: Bridging Skills Gap, Innovation and Collaboration for a Future-Ready Economy”, ATMC memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem latihan di rantau ini bagi memenuhi keperluan kemahiran yang kian berkembang.
Antara topik utama yang dibincangkan termasuklah peningkatan kualiti dan kapasiti penyedia latihan, menangani ketidaksepadanan kemahiran, memperluas akses kepada peluang pembelajaran serta menampilkan inovasi dalam penyampaian latihan dan pendidikan.
Persidangan ini turut menekankan kepentingan menangani isu kesaksamaan dalam pembangunan kemahiran serta menggalakkan pelaburan sektor swasta dalam memperkukuh masa depan tenaga kerja ASEAN.
Antara tokoh serantau yang menyumbang pandangan dalam persidangan ini termasuk Dr. Markus Bernhardt, Pakar Strategi Pembelajaran dan Pembangunan Tenaga Kerja Berkuasa AI; Yue Yean Feng, Ketua Program Universiti dan Tanggungjawab Sosial Korporat di IBM Asia Pasifik; serta Mary Kent, Pakar Kemahiran dan Kebolehpekerjaan di Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Penglibatan mereka mencerminkan komitmen tinggi rantau ini dalam pembangunan modal insan secara kolektif.
Pengerusi HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dalam ucapannya menyatakan bahawa ATMC bukan sahaja bertujuan memperkukuh penawaran latihan di Malaysia, malah membina satu ekosistem yang menyokong pertumbuhan serantau ASEAN.
“Kami berasa bangga menampilkan pelbagai persembahan dan inovasi dari negara-negara ASEAN dalam program hari ini. Kerjasama yang terjalin di sini akan memastikan tenaga kerja kita kekal berdaya saing, tangkas dan tahan lasak dalam menghadapi perubahan global. Bersama-sama, kita mampu meningkatkan kualiti dan capaian pasaran latihan demi rakyat dan ekonomi kita,” katanya.
Di bawah pimpinan Menteri Sumber Manusia Malaysia, Yang Berhormat Tuan Steven Sim Chee Keong, Malaysia terus memacu agenda ASEAN ke arah mewujudkan tenaga kerja yang lebih mahir, mudah alih dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Turut hadir di ATMC ialah Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Yusoff; Ketua Pegawai Strategi HRD Corp merangkap Pengerusi Penganjur AYOS 2025, Dr. Rony Ambrose Gobilee serta Ketua Pegawai Programmes HRD Corp, Soffian Mohammed Amin.
Terdahulu tahun ini, Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) Malaysia di bawah AYOS 2025 mencatatkan penyertaan seramai 3.7 juta orang di seluruh rantau ini – satu pencapaian luar biasa yang mencerminkan minat dan penglibatan tinggi dalam pembangunan kemahiran.
Buat pertama kalinya, inisiatif ini turut dibuka kepada peserta dari negara-negara ASEAN bagi tujuan peningkatan kemahiran dan latihan semula melalui lebih 73,000 kursus yang ditawarkan secara percuma sehingga hujung tahun ini.
Melangkah ke hadapan, KESUMA dan HRD Corp akan terus memperjuangkan kerjasama serantau menerusi acara penting yang bakal berlangsung seperti Persidangan TVET ASEAN, Persidangan & Pameran Modal Insan Kebangsaan 2025, Forum Kemahiran Global dan Forum Menteri-Menteri Sumber Manusia ASEAN bagi Pembangunan Modal Insan.
Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk menyelaraskan ekosistem kemahiran ASEAN dengan trend global dan keperluan ekonomi semasa.
KESUMA dan HRD Corp merakamkan penghargaan kepada semua rakan kongsi ASEAN, institusi latihan, majikan serta organisasi yang telah menyumbang kepada kejayaan ATMC 2025.
Bersama, rantau ini sedang membina asas kepada tenaga kerja ASEAN yang lebih kukuh, berdaya tahan dan bersedia untuk merebut peluang dalam landskap global yang semakin kompleks.
Sila layari www.aseanyearofskills.org untuk maklumat lanjut mengenai AYOS 2025 dan program serantau akan datang. - DagangNews.com







