Malaysia sedia pimpin Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan prinsip dan keyakinan – PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia sedia pimpin Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan prinsip dan keyakinan – PM Anwar

KUALA LUMPUR 23 Okt – Malaysia bersedia memimpin Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan prinsip dan keyakinan, sekali gus terus mempertahankan kepusatan serantau, memperkukuh perdagangan bebas, keamanan, serta membawa suara negara-negara selatan ke pentas dunia termasuk dalam isu Gaza, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata, Malaysia kekal konsisten dalam menuntut keadilan, keamanan berkekalan dan maruah kemanusiaan dalam isu Gaza.

 

Perdana Menteri menegaskan bahawa sidang kemuncak kali ini bakal mencatat sejarah baharu, bukan sahaja dengan kehadiran pimpinan dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, malah menandakan kebangkitan semula semangat ASEAN yang berpaksikan nilai kesederhanaan, solidariti dan kesejahteraan bersama.

 

“Sidang (Kemuncak) kali ini juga amat bersejarah kerana ASEAN akan meraikan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11, lambang keterangkuman dan semangat kekeluargaan rantau ini yang semakin utuh,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini.

 

Beliau berkata, pada masa yang sama Malaysia menegaskan kepentingan memperkukuh dialog dan persefahaman antara Thailand dan Kemboja dalam menangani isu-isu berbangkit selaras dengan semangat diplomasi damai dan perpaduan ASEAN.

 

“Kita juga kekal menyokong usaha damai di Myanmar melalui pendekatan diplomasi berprinsip dan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara demi keamanan dan kesejahteraan rakyatnya.

 

"Saya yakin kerjasama erat antara kerajaan dan media akan memperkukuh kefahaman rakyat terhadap peranan Malaysia sebagai negara yang memimpin dengan hikmah, berprinsip dalam pendirian dan berani memperjuangkan keadilan sejagat,” katanya.

 

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Oktober ini.

 

Lebih 30 ketua negara dan kerajaan dijangka berhimpun di ibu negara bagi membincangkan pelbagai isu menyentuh keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif di bawah Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

 

Sebanyak 2,854 petugas media daripada 290 agensi telah mendaftar untuk membuat liputan acara bersejarah tersebut, yang bakal menjadi antara sidang kemuncak ASEAN paling signifikan dalam dekad ini. - BERNAMA