Malaysia lancarkan Pelan Induk dan Pelaburan JS-SEZ pada Mac 2026 - Menteri Ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia lancarkan Pelan Induk dan Pelaburan JS-SEZ pada Mac 2026 - Menteri Ekonomi

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 Jan - Malaysia sedang memuktamadkan Pelan Induk dan Pelan Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dengan menyasarkan pelancaran rasmi pada Mac 2026, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

 

"Kedua-dua pelan itu akan menggariskan visi jangka panjang, sektor keutamaan, zon utama serta pelan hala tuju pelaksanaan, termasuk aspek tadbir urus, insentif, infrastruktur dan perancangan bakat," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena kunjungan hormat daripada Menteri Pembangunan Negara Singapura, Chee Hong Tat di Putrajaya, semalam.

 

Menurut Akmal, kehadiran Hong Tat bersama delegasinya bagi menegaskan semula komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama ekonomi di bawah perkongsian Johor–Singapura.

 

Katanya, kedua-dua pihak bersetuju bahawa kerjasama Johor–Singapura merupakan perkongsian jangka panjang yang dibina atas kepercayaan, kesinambungan dasar dan manfaat bersama. 

 

"Mereka turut mengalu-alukan kerjasama berterusan dalam bidang-bidang utama seperti pelaburan bernilai tinggi, pendigitalan, pembangunan mampan dan pembangunan bakat, yang menyokong pelaksanaan JS-SEZ," katanya.

 

Beliau menambah, dalam pertemuan itu Malaysia dan Singapura mengesahkan semula JS-SEZ sebagai tonggak utama hubungan ekonomi dua hala dan memaklumkan bahawa inisiatif ini sedang beralih daripada fasa perancangan kepada pelaksanaan. 

 

JS-SEZ ujarnya, akan menggabungkan skala dan sumber Johor dengan modal, teknologi serta keterhubungan global Singapura bagi menarik pelaburan bernilai tinggi, mengukuhkan rantaian bekalan dan mewujudkan pekerjaan berkualiti untuk komuniti di kedua-dua sisi Tambak Johor.

 

Menurut Akmal, para Menteri turut membincangkan pengukuhan Jawatankuasa Menteri-Menteri Kerjasama Johor–Singapura (JSCMC) bagi menyediakan pengawasan yang lebih jelas dan tumpuan yang lebih kukuh terhadap kerjasama ekonomi, khususnya di bawah agenda JS-SEZ. 

 

Tambahnya, struktur tadbir urus muktamad akan dibentangkan pada mesyuarat JSCMC seterusnya di Singapura.

 

"Dengan pelaksanaan yang berdisiplin dan kerjasama berterusan, JS-SEZ dan JSCMC akan memberikan hasil yang nyata kepada perniagaan, pekerja dan komuniti di Malaysia dan Singapura," katanya. - DagangNews.com