KUALA LUMPUR 2 Mac - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS) menyerang Iran dan mendesak supaya genjatan senjata dikuatkuasakan serta mereta tanpa syarat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anawar Ibrahim berkata, tindakan ganas menyerang negara bebas dan merdeka adalah perbuatan biadap, melanggar prinsip piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan melanggar semua peraturan dan ketetapan dalam hukum undang-undang dunia.
"Oleh itu Malaysia dengan ini mengutuk keras serangan oleh rejim zionis Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran," katanya dalam sidang khas di Dewan Rakyat hari ini bagi menyatakan pendirian Malaysia terhadap serangan berkenaan.
Pada Sabtu, AS dan Israel melancarkan serangan ke atas beberapa kawasan di Iran sehingga mengorbankan Pemimpin Tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Iran bertindak balas dengan menyerang aset-aset serta pangkalan tentera AS di teluk termasuk di Israel.
Perdana Menteri berkata, tindakan ketenteraan berterusan itu tentunya berisiko malah telah mula menyebabkan ketegangan, eskalasi lebih besar, menggugat kestabilan serantau terutamanya negara -negara teluk yang diheret ke dalam kancah peperangan akibat daripada serangan yang dimulakan oleh Israel yang bersekongkol dengan Amerika Syarikat.
"Sebagai negara bebas dan merdeka Malaysia hanya mampu menyeru supaya gencatan senjata berlaku tanpa syarat dengan serta merta dan kalau pun ada asas pertikaian ia harus kembali ke meja rundingan secara konstruktif," tegas Perdana Menteri.
Beliau menambah, tekanan dunia termasuk PBB dengan kenyataan Setiausaha Agung jelas mengikat negara anggota supaya mematuhi undang-undang antarabangsa.
"Namun Israel satu-satunya negara yang terus melanggar ketetapan antarabangasa. Hari ini Iran, semalam Lubnan, sebelumnya Iraq, Syria, dan pembantaian terhadap umat dan rakyat Palestin dan Gaza berterusan sehingga kini .
"Sebab itu kita tidak mempunyai pilihan melainkan dengan menyatakan dengan tegas dan jelas bahawa tindakan ini adalah tindakan yang bertentangan dengan aturan dunia dan harus dibantah dengan keras," katanya. - DagangNews.com








