Malaysia Airlines bekerjasama dengan APG, StudentUniverse, ATPI perluaskan jangkauan pasaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Airlines bekerjasama dengan APG, StudentUniverse, ATPI perluaskan jangkauan pasaran

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Mei — Malaysia Airlines menjalinkan kerjasama dengan tiga rakan perdagangan global sebagai sebahagian daripada usaha berterusan bagi meningkatkan jangkauan pasaran serta memberikan nilai lebih besar kepada pangkalan pelanggannya yang pelbagai.


Syarikat penerbangan kebangsaan itu berkata, langkah tersebut melibatkan Air Promotion Group (APG), StudentUniverse dan Advanced Travel Partners International (ATPI) yang dijangka mampu memperkukuhkan lagi pengedaran global serta kehadiran komersialnya.


Ketua Pegawai Komersial Penerbangan, Malaysia Aviation Group (MAG), Dersenish Aresandiran berkata, perkongsian ini mencerminkan cita-cita strategik Malaysia Airlines untuk trerus memperdalamkan jangkauannya yang merentasi pelbagai segmen pelanggan dan geografi.


"Kami mahu meluaskan kandungan ke pasaran luar talian, mencipta nilai tambah untuk pelajar dan meningkatkan keupayaan segmen marin dengan menumpukan pada penyediaan pengalaman yang lebih lancar serta dipacu manfaat untuk para pengembara di seluruh dunia," katanya.

 

mag


Pemeteraian memorandum persefahaman dengan ketiga-tiga rakan kongsi antarabangsa itu juga kata beliau diharap dapat bekerjasama rapat untuk terus membuka lebih banyak lagi peluang baharu kepada para pelanggan yang berpotensi dan menyampaikan pertumbuhan secara bersama.


Malaysia Airlines juga tambah Dersenish, bersedia untuk mengukuhkan strategi pengedaran globalnya melalui perkongsian strategik dengan APG, yang merupakan rangkaian perwakilan syarikat penerbangan terbesar dan diakui sebagai antara paling berjaya di dunia.


Menerusi penyertaan Platform New Distribution Capability (NDC) APG, syarikat penerbangan itu akan mampu mengembangkan kehadirannya di pasaran luar talian dan membuka kunci akses  luas kepada kandungan NDC secara lengkap dan memanfaatkan rangkaian di lebih 150 negara.


Platform ini juga kata beliau, membolehkan pengedaran kandungan yang diperkaya secara kos efektif seperti tawaran dinamik dan tambang berpakatan, sambil memberikan ejen dengan akses kepada portfolio perjalanan yang lebih luas, termasuk hotel dan penyewaan kereta.

 

MAG


Sementara itu kerjasama dengan StudentUniverse dijangka mengukuhkan pakatan strategik lebih ketara, mengembangkan jejak globalnya dan secara rasmi menetapkan Malaysia Airlines sebagai salah satu rakan kongsi Global Airline terutama terhadap pasaran pelancongan pelajar.


"Kami bakal menawarkan tambang eksklusif, diskaun dan pakej nilai manakala StudentUniverse akan menampilkan Malaysia Airlines sebagai rakan kongsi pilihan antarabangsa, meningkatkan keterlihatan jenama dengan menyediakan sokongan pemasaran penuh," kata Deersenish.


Sejak kerjasama bermula pada 2024, StudentUniverse telah menyumbang ketara pertumbuhan hasil segmen pelajar dalam pasaran utama seperti Australia dan New Zealand serta telah menjana pendapatan besar, dengan sumbangan pergerakan pelajar di seluruh dunia.


Selain itu, kerjasama dengan ATPI menetapkan mereka sebagai rakan kongsi perjalanan marin pilihan Malaysia Airlines dari 1 Mei 2025 hingga 30 April 2026 dengan menumpukan pada usaha sama mempromosikan penerbangan kepada sektor marin dan tenaga.


Malaysia Airlines akan memanfaatkan jangkauan global ATPI dengan menyasarkan peningkatan daya tarikan dan akses ke hab dan laluan marin utama serta meletakkannya sebagai syarikat penerbangan pilihan untuk firma dan profesional yang beroperasi dalam industri penting ini.


Perkongsian itu juga mencerminkan strategi Malaysia Airlines yang lebih luas untuk meneroka pasaran pelancongan khusus dan memacu pertumbuhan yang mampan melalui kerjasama komersial yang disasarkan. - DagangNews.com