Malakoff tempah dua lagi turbin gas Mitsubishi Power untuk projek 1,400MW di utara Semenanjung Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malakoff tempah dua lagi turbin gas Mitsubishi Power untuk projek 1,400MW di utara Semenanjung Malaysia

Gambar hiasan dari laman web Mitsubishi Power
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Mac – Malakoff Corporation Berhad memeterai Perjanjian Tempahan kedua dengan Mitsubishi Power, Ltd. bagi perolehan dua lagi turbin gas dan penjana turbin gas M701JAC berteknologi terkini untuk pembangunan stesen janakuasa kitaran gabungan (CCGT) baharu di utara Semenanjung Malaysia.

 

Unit berkenaan dijangka menyumbang kapasiti penjanaan sebanyak 1,400 megawatt (MW). Langkah itu menyusuli tempahan pada Oktober 2025 bagi dua unit sama untuk projek stesen janakuasa gas baharu berkapasiti 1,400MW di wilayah selatan.

 

Turbin gas M701JAC merupakan model penyejukan udara terbaharu keluaran Mitsubishi Power yang direka untuk mencapai kecekapan terma lebih tinggi, fleksibiliti bahan api serta pelepasan lebih rendah melalui teknologi pembakaran dipertingkat.

 

Menurut Malakoff, penggunaan unit baharu itu dijangka meningkatkan kecekapan dan prestasi keseluruhan stesen janakuasa, di samping menyokong penggunaan teknologi lebih bersih selaras dengan usaha pengurangan pelepasan karbon.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Tan Sri Samsudin berkata, perjanjian tempahan berkenaan menandakan satu lagi perkembangan penting bagi syarikat sebagai antara pengeluar tenaga bebas (IPP) terkemuka negara.

 

“Selama lebih tiga dekad, Malakoff telah membekalkan tenaga yang andal kepada negara serta membina pengalaman luas dalam mengendalikan stesen janakuasa berskala besar yang menyokong grid nasional.

 

“Pada Januari lalu, Suruhanjaya Tenaga telah meluluskan lanjutan operasi tiga stesen janakuasa gas sedia ada kami dengan kapasiti gabungan 2,082MW, memastikan sumbangan berterusan kepada grid,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, perolehan empat turbin gas M701JAC secara keseluruhan akan memperkukuh keupayaan Malakoff membangunkan stesen janakuasa kitaran gabungan berkecekapan tinggi, sekali gus meningkatkan kapasiti penjanaan keseluruhan syarikat secara signifikan.

 

“Langkah ini menghampiri sasaran kapasiti 10,000MW menjelang 2031 dan mencerminkan komitmen kami untuk memastikan kapasiti mencukupi ketika permintaan elektrik terus meningkat.

 

“Dalam konteks transisi tenaga negara, keselamatan tenaga kekal menjadi keutamaan dan kami terus memberi tumpuan kepada penyediaan bekalan yang stabil dan andal,” katanya.

 

Meneruskan perjalanan transformasi selepas lebih lima dekad pertumbuhan, kerjasama strategik dengan Mitsubishi Power itu dilihat menyokong hala tuju jangka panjang Malakoff dalam menyediakan penyelesaian tenaga yang cekap dan berdaya tahan di seluruh negara.

 

Inisiatif berkenaan juga sejajar dengan komitmen syarikat untuk memenuhi peningkatan permintaan elektrik dan keperluan pembangunan Malaysia, berlandaskan tujuannya, ‘Enhancing Life, Enriching Communities’. - DagangNews.com